
THE LEGO MOVIE – IMPAK EFEKTIF PLASTIK
FILEM: The Lego Movie
GENRE: Animasi
ARAHAN: Chris McKay, Chris Miller dan Phil Lord
PELAKON: Channing Tatum, Will Ferrell, Elizabeth Banks, Alison Brie, Will Arnett, Jonah Hill, Cobie Smulders, Liam Neeson dan Morgan Freeman.
BINTANG:****
Hollywood bikin magis lagi. Selepas sukses sebagai pengilang filem-filem animasi blokbuster seperti Toy Story, Shrek, Ice Age dan yang seumpamanya, kali ini permainan bata plastik yang popular dalam kalangan kanak- kanak khususnya pada era 1980-an, Lego dijadikan bahan visual layar perak.
Satu pembaharuan tetapi ada risikonya. Karakter-karakter dalam bentuk Lego yang ditampilkan menerusi naskhah arahan bersama Chris McKay, Chris Miller dan Phil Lord ini majoritinya ialah adiwira-adiwira yang pernah muncul di layar perak.
Batman, Superman, Wonder Woman, Green Lantern dan ramai lagi adiwira digabungkan dengan watak-watak yang pernah muncul dalam siri filem blokbuster seperti The Lord of the Rings, Harry Potter dan Star Wars. Justeru, jangan pelik apabila melihat kelibat Gandalf dan Profesor Dumbledore bergandingan dengan karakter-karakter Teenage Mutant Ninja Turtle dalam naskhah ini.
Terlalu banyak karakter pastinya menyukarkan perjalanan plot perceritaan untuk membekaskan impak. Sementelah majoriti karakter yang ditampilkan jenis kitar semula. Jelas sekali, ia cuba memanipulasi nama-nama popular untuk diadun dalam satu acuan yang sama.
Malah, ia seolah-olah cerminan genre filem parodi seperti Scary Movie. Mujurlah ia sekadar cerminan Scary Movie semata-mata. Sejujurnya, The Lego Movie boleh diumpamakan sebagai makanan yang cukup lazat selepas digaulkan bersama-sama pelbagai bahan masakan yang popular dan biasa dimakan.
Elemen humor yang ditampilkan dirasakan begitu pantas. Ia seolah-olah diceritakan oleh seorang kanak-kanak yang sangat pintar dan aktif yang menampilkan apa sahaja bentuk watak daripada Lego yang dia mahukan. Selain tidak takut untuk menambah lagi apa yang ingin ditampilkan bagi mengisi setiap detik perjalanan filem ini.
Skrip naskhah ini tidak terlalu serius, tetapi secara keseluruhan ia bukan sekadar dibina oleh elemen humor. Emmet (lakonan suara Chris Pratt) merupakan seorang pekerja binaan yang hidup dalam dunia Lego yang diperintah secara manual oleh Presiden Business (Will Farrell).
Presiden Business bimbang kuasa pemerintahannya dirampas oleh rakyat yang kreatif menyebabkan golongan tersebut dipenjarakan.Seorang ahli sihir, Vitruvius (Morgan Freeman) kemudian meramalkan bakat muncul seorang individu yang membebaskan rakyat Lego daripada cengkaman kuku besi Presiden Business – dikenali sebagai The Special One.
Emmet disalah anggap sebagai The Special One. Itulah permulaan kepada gabungannya bersama-sama adiwira-adiwira Lego untuk membasmi kuasa pemerintahan Presiden Business.
Lalu bermula sebuah pengembaraan penuh aksi yang bersulamkan ceria dan humor sepantas kilat, sehingga tidak sedar ia mencecah kemuncak yang berjaya menyentuh emosi pada akhir babaknya.
Biarpun dipenuhi kesemua karakter plastik, tetapi impak The Lego Movie bukan ‘plastik’. Ia sebuah naskhah yang jujur dan efektif.













