Buletin

FORD FOCUS ST 2019, ADA ENJIN DIESEL!

Ford Focus adalah sebuah model ikonik, ia hasil daripada Alex Trotman, Ketua Pegawai Eksekutif Ford yang mahukan sebuah model kompak untuk pasaran antarabangsa dengan pembangunan global.

Buat peminat perlumbaan rali, Focus begitu sinonim dengan Colin McRae dan bersama model tersebut, McRae berjaya memenangi sembilan pusingan WRC di serata dunia.

Model yang pertama kali diperkenalkan pada tahun 1998 kini sudah memasuki generasi keempat pada Februari 2018.

Focus mempunyai peminat tersendiri jika dilihat jumlahnya di atas jalan raya negara dan khusus untuk pemandu yang mahukan sesuatu lebih sporti, Ford menawarkan Focus ST.

Model hot hatch ini ditawarkan kepada pembeli tempatan pada tahun 2012 dengan harga RM 209,000.

Genap setahun pengenalan Focus generasi keempat, Ford memperkenalkan Focus ST baharu pada 18 Februari 2019.

Focus ST generasi keempat dibangunkan oleh Ford Performance bagi memenuhi citarasa pelanggan yang mahukan sebuah model sporti.

Model ini bersaing dengan beberapa lagi hatchback sporti seperti Volkswagen Golf GTI, Peugeot 308 GTI dan Renault Megane R.S.

Bagaimana pula dengan Honda Civic Type R? Saingan lebih tepat ialah Ford Focus RS yang lebih hardcore berbanding Focus ST.

Berikut ialah ciri-ciri pada Ford Focus ST 2019:

  • Ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 2.3 liter EcoBoost dan 2.0 liter EcoBlue Diesel
  • Enjin EcoBoost berkuasa 280 PS pada 5,500 dengan tork 420 Nm dari 3,000 rpm hingga 4,000 rpm
  • Pecutan 0 – 100 km/j di bawah enam saat
  • Enjin EcoBlue berkuasa 190 PS pada 3,500 rpm dengan tork 400 Nm di antara 2,000 rpm hingga 3,000 rpm dan 360 Nm dari 1,500 rpm
  • Model Ford pertama menggunakan LSD elektronik (eLSD) untuk pacuan depan yang menambah baik keupayaan melalui selekoh dan kestabilan kenderaan
  • Pilihan enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan automatik quick shift
  • Sistem rev-match yang boleh dinyah aktif
  • Model EcoBoost dilengkapi teknologi Continuously Controlled Damping (CCD) pada suspensi belakang untuk pemanduan yang baik
  • Setiap dua milisaat, sistem akan mengawai suspensi, badan kereta, stereng dan input brek bagi melaras respon suspensi
  • Tiga mod pemanduan iaitu Slippery/Wet, Normal, Sport
  • Varian Performance Pack dilengkapi Track Drive Mode yang boleh melaras eLSD, CCD, EPAS (stereng), pemetaan pendikit, pemasaan tukaran gear transmisi automatik dan tetapan suhu
  • Butang Sport pada stereng untuk akses terus kepada mod Sport
  • Sistem bantuan pemanduan seperti Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Speed Sign Recognition dan Lane-Centring untuk digunakan semasa trafik henti dan gerak
  • Teknologi Evasive Steering Assist yang pertama untuk segmen C. Membantu pemandu mengelak kenderaan yang berhenti atau bergerak perlahan supaya tidak terlibat dalam kemalangan

Ford Focus ST 2019 bakal ditawarkan kepada pelanggan Eropah dalam tempoh beberapa bulan lagi dan adakah model ini akan dibawa masuk ke pasaran tempatan sekali lagi?

Belum dapat disahkan memandangkan Focus generasi keempat masih belum dilancarkan di negara kita.

Google ads
Back to top button