Buletin

LUMPUH KERANA KEMALANGAN DENGAN EXPLORER, FORD DIARAH BAYAR PAMPASAN RM619 JUTA

Sebuah mahkamah di Alabama, Amerika Syarikat mengarahkan Ford untuk membayar pampasan sebanyak AS$151.8 juta (RM619 juta) kepada seorang lelaki yang lumpuh akibat kemalangan pada tahun 2015. 

Lelaki malang itu, Travaris Smith dikatakan menaiki sebuah Ford Explorer bersama rakannya sebelum pemandu berpusing untuk mengelak binatang di hadapan.

Tindak balas itu membuatkan Ford Explorer buatan tahun 1998 terbabit berpusing sebanyak dua kali. 

Insiden itu menyebabkan Smith mengalami kecederaan tulang belakang yang serius. Salah seorang peguam Smith, Beasley Allen berkata wang pampasan itu akan digunakan untuk tujuan penjagaan dan bantuan. 

Pampasan  tersebut diberi kerana SUV itu tidak memenuhi garis panduan keselamatan Ford sendiri. Ford juga didakwa bersikap sambil lewa ketika mereka bentuk dan cuba untuk menyembunyikan kecatatan rekaannya. 

Pasukan jurutera Ford dikatakan telah menasihatkan pengeluar kenderaan itu supaya mengubah reka bentuk. Sebaliknya, Ford menukar proses ujian dan memusnahkan data ujian asal. 

Ford dijangka membuat rayuan atas keputusan terbabit. 

“Kami sangat simpati kepada Travaris Smith dan ahli keluarga beliau. Namun, kami tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah atas kes ini. Juri sebelum ini tidak dapat mendengar banyak bukti kritikal. Jadi, kami akan membuat rayuan,” kata jurucakap Ford, onique Brentley dalam satu kenyataan. 

Menurut Ford, ia telah mereka semula Explorer sejak tahun 1998. 

Google ads
Back to top button