Buletin

FORD GT MK IV 2023, LEBIH 800HP, DARIPADA RM7.5 JUTA!

Kepada peminat yang terlepas untuk membeli Ford GT edisi istimewa, anda kini berpeluang untuk mendapatkan Ford GT Mk IV 2023 yang dikeluarkan khas untuk litar dan terhad kepada 67 unit sahaja.

Ford GT Mk IV 2023 adalah hasil kerja Ford Performance dan Multimatic yang dibangunkan sebagai penghormatan kepada Mk IV yang memenangi perlumbaan Le Mans 24 Jam tahun 1967.

Era tersebut menyaksikan Ford menjuarai Le Mans dari 1966 hingga 1969 dengan jentera Mk IV membolot empat kedudukan teratas pada tahun 1967.

Kejayaan itu adalah kesinambungan GT Mk II yang berjaya menyapu bersih podium tempat pertama hingga ketiga pada tahun sebelum itu.

GT Mk IV 1967 dibangunkan dari asas dengan jurutera Ford dan Kar Kraft menggunakan casis baharu yang ringan dan dibina dari aluminium corak sarang lebah dan kaedah lekatan.

Badan kereta lebih aerodinamik dan dipanggil sebagai J-Car memandangkan ia dibina mengikut peraturan Apendiks J FIA.

Kereta lumba itu dipacu enjin Ford V8 427 (7.0 liter) dan transgandar istimewa yang menggunakan sistem penyejukan sendiri. GT Mk IV 1967 juga sembilan inci lebih panjang.

GT Mk IV terbaru akan dikeluarkan di kilang Multimatic yang terletak di Markham, Ontario, Amerika Syarikat.

Ford belum mendedahkan spesifikasi terperinci kecuali enjin EcoBoost turbo berkembar dengan sesaran yang dibesarkan, transmisi perlumbaan dan suspensi Adaptive Spool Valve (ASV) dari Multimatic.

Output enjin yang disasarkan ialah 800 kuasa kuda (hp). Sebagai rekod, Ford GT MkII digerakkan enjin EcoBoost 3.5 liter turbo berkembar V6 yang menghasilkan 700 hp.

Badan kereta pula tampil radikal berbanding GT asal dengan konsep long tail dan jarak roda lebih panjang untuk pengendalian yang lebih baik di litar.

Harga bermula daripada AS$1.7 juta (RM7.5 juta) dan pemilihan pembeli akan disahkan pada suku pertama 2023 dan penghantaran bermula beberapa bulan selepas itu.

BACA: FORD GT LM MULTIMATIC, 20 UNIT EDISI PENGHABISAN!

BACA: FORD FOCUS ST 2022, 2.3L ECOBOOST 6 KELAJUAN MANUAL!

BACA: FORD F-100 ELUMINATOR, PIKAP KLASIK KUASA ELEKTRIK!

Google ads
Back to top button