
FORD GT LM MULTIMATIC, 20 UNIT EDISI PENGHABISAN!
Ford GT sememangnya model ikonik buat Ford dengan kemenangan GT40 di dalam perlumbaan Le Mans puluhan tahun dulu yang sentiasa dikenang dan diraikan.
Dari segi sejarah, GT40 dikeluarkan daripada tahun 1964 hingga model terakhir Mk IV pada 1969. Lama selepas itu atau pada 2005 barulah Ford mengeluarkan GT.
Kenapa tidak teruskan nama GT40? Secara ringkasnya nama ikonik tersebut dimiliki oleh pihak lain.
Ford GT di pasaran sekarang adalah dari generasi kedua dan mula dikeluarkan pada 2016. Hanya 1,350 sahaja dikeluarkan dan berakhir pada 2022.

Terbaru Ford memperkenalkan Ford GT LM Edition dan merupakan generasi ketiga terakhir model istimewa Ford GT.
Model ini dibuat bagi meraikan satu-satunya kereta buatan Amerika yang menang Le Mans pada 2016 dan menyapu bersih podium 1,2 dan 3 pada 1966.
Satu lagi aspek sejarah yang dibawa ialah Ford GT LM turut memperingati kehebatan pasukan Ford Chip Ganassi yang berjaya menyiapkan kereta kejuaraan Le Mans dalam tempoh lebih sedikit dari setahun.
Lebih tepat lagi dalam masa 395 hari.

Apa yang jelas Ford GT kekal eksklusif dan 20 buah edisi khas ini termasuk jumlah terhad yang dirancang dan pengeluaran berakhir pada tahun ini.
Dari gambar yang diberi, badan gentian karbon Ford GT LM nampak cantik dengan warna Liquid Silver.
Model ini juga diberikan tema merah atau biru bagi yang merupakan warna Ford GT nombor 68 yang memenangi Le Mans.

Pelanggan boleh memilih gentian karbon dalam warna merah terdedah atau biru pada bahagian bawah kereta.
Di antaranya ialah splitter depan, ambang sisi dan ambang pintu, bilah ruang enjin, pemegang cermin sisi dan peresap belakang.
Roda 20 inci turut menggunakan tema gentian karbon terdedah dan diikat menggunakan nat titanium. Menghentikan kereta ialah angkup Brembo® dalam warna hitam.

Satu lagi ciri eksklusif pada Ford GT LM ialah dua ekzos yang diperbuat daripada cetakan 3D titanium dengan rekaan siklon di dalam muncung dan menghamburkan gas dari enjin 3.5L EcoBoost® 660 hp.
Di atas muncung ekzos juga terpapar logo GT LM yang dihasilkan daripada cetakan 3D.
Pada bahagian dalam, kerusi gentian karbon dibalut Alcantara® warna merah atau biru manakala kerusi penumpang berwarna hitam dengan sulaman yang menyamai warna pemandu dan butang enjin.

Panel instrumen dibalut kulit hitam dan Alcantara dan hitam Alcantara untuk tiang dan lapik bumbung.
Dominasi gentian karbon diteruskan pada konsol, liang udara dan bahagian bawah tiang A.
Satu lagi keistimewan yang begitu menarik ialah plat logo pada panel instrumen diperbuat daripada aci engkol enjin kereta lumba Ford GT nombor 69 yang memenangi tempat ketiga pada perlumbaan 2016.
Kenangan itu dibawa terus ke setiap 20 unit Ford GT LM Edition yang menutup tirai edisi istimewa Ford GT Mk II.

BACA: FORD MUSTANG 2024. ENJIN 5.0 V8 DAN 2.3 ECOBOOST. PAKEJ PERFORMANCE PACK. HARGA BELUM ADA
BACA: FORD FOCUS ST 2022, 2.3L ECOBOOST 6 KELAJUAN MANUAL!
BACA: FORD F-100 ELUMINATOR, PIKAP KLASIK KUASA ELEKTRIK!







