
FORD PUMA ST POWERSHIFT – ADA DNA RALI NI!
Macam kena pula masanya apabila Ford memperkenalkan varian terbaharu model SUV kompak mereka, Ford Puma. Kini ada varian terbaharu yang ingin diperkenalkan, Ford Puma ST Powershit.
Berbanding model Ford Puma ST yang menggunakan enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kuasa 200 PS dan 350 Nm, varian dengan tambahan nama Powershift dihujungnya menggunakan enjin turbo EcoBoost 1.0 liter tiga silinder yang turut didatangkan dengan sistem hibrid sederhana 48-volts.

Sungguh pun bernadikan enjin dengan sesaran yang lebih kecil, namun kuasa yang dihasilkan oleh enjin EcoBoost 1.0 liter ini berupaya menghasilkan kuasa sekitar 170 PS dan kuasa 248 Nm. Suatu angka yang boleh tahan sebenarnya bagi sebuah enjin yang mungkin kelihatan kecil. Cukup responsif untuk dipandu dipemanduan bandar.
Sistem hibrid sederhana 48-volt dengan pek bateri lithium-ion yang dibekalkan telah menerima penambahbaikan dan dipertingkatkan operasinya dengan menawarkan pemulihan kuasa yang lebih besar sekali gus dapat memberikan kuasa / tujahan boost elektrik tambahan sehingga 10 PS.

Jika model Ford Puma sebelum ini pun sudah pun berupaya memberikan kuasa sekitar 155 PS, Ford Puma ST Powershift ini telah dibuat penalaan semula bagi mendapatkan kuasa yang lebih sehingga 170 PS. Ford Puma ST Powershift ini juga menerima sistem ekzos yang dilengkapi dengan teknologi injap aktid dimana ianya mampu mengawal bunyi deruman ekzos. Kalau dah pilih mode Sport, sudah tentu bunyi lebih garang akan dihasilkan untuk menghalau mana – mana kereta yang perlahan di hadapan tanpa perlu mengacah membuka lampu tinggi lampu tinggi macam orang gila pada hal kat depan dah jem kereta bersusun atas lebuhraya. Eh! Eh!

Enjin yang sedap ini digandingkan pula dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan yang mampu memecut dari titik pegun ke 100 km/j dalam tempoh 6.7 saat. Masih dianggap memadai dan cukup laju juga.
Dari segi penampilan luaran, mungkin ianya hampir tiada perbezaan berbanding dengan model standard Ford Puma ST. Ada beberapa penambahan seperti gril yang lebih besar, skirting, spoiler yang sedikit besar serta diffuser yang lebih garang. Bertambah garang sudah tentulah pemadanan rim bersaiz 19 inci yang kelihatan cukup garang dan menawan. Dan sudah semestinya warna eksklusif Azura Blue ini cukup ngam pula dengan Ford Puma ST Powershift ini.
Bahagian kabin menampilkan tempat duduk sport Ford Performance yang dibalut kulit sintetik Sensico dan dilengkapi dengan skrin untuk sistem infotainmen Ford SYNC 3 dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
BACA : KERETA SPORT KOMPAK FORD PUMA -INILAH DIA BABY MUSTANG






