Buletin

FORD PUMA – CROSSOVER BAHARU UNTUK PASARAN EROPAH

Sebut aja tetang jenama Ford, kita lebih mudah untuk mengingati tentang model terkemuka seperti Ford Fiesta yang turut beraksi dalam perlumbaan ulung rali WRC. Reka bentuk Ford Fiesta ini mudah. Cantik menawan dan nampak laju. Padahal memang laju pun. Tapi kita mungkin tidak mengenali langsung tentang model yang satu ini, Ford Puma, sebuah Crossover yang kacak lagi bergaya.

Ford Puma yang merupakan Crossover subkompak ini sebetulnya bukanlah model global di jual merata dunia. Tetapi sebaliknya pembinaan Ford Puma ini merupakan sebuah model yang dikendalikan oleh Ford of Europe AG dan khusus untuk penjualannya di benua Eropah sahaja. Barangkali niatnya mudah untuk diteka , untuk bersaing dengan model Crossover yang cukup popular juga di Eropah, Renault Captur.

Melihatkan saiz Ford Puma ini, mudah juga untuk kita mengagak bahawa model Crossover ini turut berkongsi pelantar Ford B3, pelantar yang sama juga dengan model Ford Fiesta. Tapi model ini dibina baharu dan tidak lagi menggunakan paras rupa Ford Fiesta semata. Muka hadapan Ford Puma ini kelihatan cukup menarik dan dinamik apabila posisi lampu utama dialihkan ke bahagian sedikit atas hampir setara dengan hud hadapan. Ada ciri persamaan dengan Kia Sportage. Mujur rekaannya masih lagi bersifatkan sebuah model daripada Ford.

Enjinnya menggunakan 1.0 liter EcoBoost Turbo yang turut didatangkan dengan sistem hibrid sederhana dengan pemasangan sebuah motor elektrik kecil dengan pek lithium-ion bateri 48 volts. Setidaknya membantu sedikit pencemaran alam dengan emisi rendah. Walau pun ada mulut yang berkata apalah pakai enjin kecil, tapi sebenarnya enjin ini cukup berkuasa dari segi tork sebenarnya. Cukai jalan pun dah tentu murah, agaknyalah.

Ford Puma ini turut didatangkan dengan beberapa ciri keselamatan yang moden seperti Selectable Drive Modes dan Ford Co-Pilot360. Bolehlah membantu / mengurangkan sedikit risiko perkara yang tidak diingini berlaku. Dan untuk menemani Pemandu yang keseorangan di dalam kenderaan, Ford Puma ini turut didatangkan dengan sistem Ford SYNC 3 pada unit infohiburan. Lengkap dengan Kawalan Suara. Lebih menarik lagi, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan turut dilengkapi dengan fungsi mengurut. Hilang sikit letih memandu untuk perjalanan jauh.

Sebenarnya ada lagi satu ciri menarik yang ada pada Ford Puma ini dan ianya cukup praktikal untuk mereka yang ada anak kecil. Fabrik tempat duduk sebenarnya boleh dibuka dan dicuci sekiranya terlalu kotor berpunca daripada kesan tumpahan air milo, coklat angin, aiskrim, tapak kasut dan juga tapak sulaiman. Malah kalau dah benci sangat dengan sarung fabrik tersebut, anda turut boleh mendapatkannya yang baharu dengan Ford. Bijak betul Ford buat begini.

Dengan beberapa ciri yang menarik ditambah dengan rekaan yang handal, pastinya mereka yang berhasrat memilih tipikal Crossover jenama Eropah dah boleh pertimbangkan juga tentang model Ford Puma ni. Orait juga kan?

BACA : FORD FIESTA ACTIVE – DARI HATCHBACK KE CROSSOVER

BACA : FORD KUGA 2019 – LEGASI SUV KEGEMARAN DI EROPAH

Google ads

B K

Back to top button