Buletin

FORD PUMA RALLY1 AKHIRNYA DIDEDAHKAN SEBAGAI PENGGANTI FORD FIESTA WRC

Akhirnya. Desus desus tentang model pengganti kepada jentera rali Ford Fiesta WRC didedahkan juga. Sahih lagi nyata bahawa model Ford Puma dipilih sebagai model Rally1 bagi menghadapi saingan World Rally Championship (WRC) bagi musim 2022 kelak. Model prototaip Ford Puma Rally1 milik M-Sport Ford itu didedahkan identitinya bersempena dengan Goodwood Festival of Speed.

Ford Puma Rally1 yang menggantikan model Ford Fiesta sebagai jentera WRC yang telah digunakan semenjak tahun 2011 lagi bakal beraksi dalam acara perlumbaan demonstrasi mendaki bukit di Goodwood Festival of Speed dengan kehadiran pemandu WRC, Adrien Fourmaux dan juga pemandu uji pasukan, Matthew Wilson selama beberapa hari sebelum sesi ujian dan pembangunan diteruskan bagi menghadapi saingan WRC musim 2022 kelak.

Jentera Ford Puma Rally1 ini masih lagi menggunakan enjin 1.6 turbo EcoBoost, sama seperti yang digunakan terhadap model Ford Fiesta tetapi kini ianya digandingkan bersama motor elektrik 100kW yang mampu menghasilkan kuasa tambahan sekitar 134 HP.

Pek bateri yang digunakan berkapasiti 3.9kWh yang mana ianya berupaya mengecas semula menerusi sistem regeneratif atau pun melalui slot pengecasan yang tersedia di service park sementara menantikan SS berikutnya berlangsung. Sistem hibrid ini bakal wajib digunakan ketika peralihan diantara SS dan juga service park atau pun di peringkat perlumbaan sendiri.

Sementara itu, Pengarah Urusan M-Sport Ford, Malcolm Wilson berkata ianya merupakan suatu era baharu dan perubahan terbesar dalam sejarah WRC.

“Perubahan daripada Fiesta kepada Puma cukup mengujakan memandangkan jenama ini sudah mempunyai sejarah yang tersendiri dalam sukan rali. Ford Puma ini kelihatan cukup menyakinkan dan saya tidak sabar untuk menyaksikannya beraksi di Monte-Carlo Rally pada awal tahun 2022”, tambah beliau lagi.

Selain daripada sistem hibrid yang bakal digunakan kelak, bermula tahun hadapan juga kesemua jentera Rally1 ini juga bakal menggunakan bahan api bebas fosil dengan elemen sintetik dan juga bio-degradasi yang bakal disediakan oleh P1 Racing Fuels bagi menggantikan bahan api standard.

Kini, dunia menantikan pula jentera Rally1 daripada pasukan Toyota dan Hyundai untuk membuat kemunculan rasmi di khalayak umum.

BACA : M-SPORT FORD MULA MENGUJI MODEL RALLY1 UNTUK MUSIM WRC 2022

BACA : FORD PUMA – CROSSOVER BAHARU UNTUK PASARAN EROPAH

Google ads

B K

Back to top button