Buletin

FORD RANGER RAPTOR SPORT 3.0 DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM273K

Sime Darby Auto ConneXion – Ford (AutoConneXion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, secara rasmi melancarkan Ford Ranger Raptor Sport 3.0.

Dilancar bersempena ulang tahun ketiga Next-Gen Raptor di Malaysia, model edisi khas ini tampil sebagai pilihan paling eksklusif dalam rangkaian Raptor.

Sejak dilancarkan pada 2022, Next-Gen Ranger Raptor terus menjadi penanda aras segmen trak prestasi tinggi di Malaysia.

 Kehadiran versi Sport ini menambah satu lagi lapisan eksklusiviti dan mengukuhkan momentum kuat jenama Raptor dalam pasaran tempatan.

Di bawah hud, trak ini masih menggunakan enjin EcoBoost V6 3.0 liter twin-turbo dengan talaan khusus untuk menghasilkan 397PS pada 5,650rpm dan 583Nm pada 3,500rpm.

Digandingkan dengan sistem suspensi FOX 2.5-inch Live Valve Internal Bypass, Raptor Sport bukan sekadar laju di jalan raya; ia dibina untuk mengharungi laluan mencabar tanpa kompromi pada keselesaan.

Satu ciri menarik edisi Sport ini ialah rekaan roda gaya beadlock. Ia hadir standard dengan “gelang kecantikan” untuk kegunaan harian, dan pelanggan boleh membeli gelang beadlock sebenar untuk penggunaan tekanan tayar rendah ketika off-road ekstrem.

Dari segi visual, Ranger Raptor Sport tampil lebih agresif dengan pelekat Raptor rekaan baharu, Sport Hoop khas, dan palang tegar baharu yang memperkukuh imej utilitarian-serta-sukan. Ford menyasarkan rupa yang lebih garang, edgy, dan selari dengan DNA Ford Performance.

Ditawarkan dalam dua warna, Arctic White dan Meteor Grey, Ford Ranger Raptor Sport dijual pada:

  • RM273,888 (Semenanjung Malaysia, atas jalan tanpa insurans)
  • RM277,388 (Sabah & Sarawak)

Setiap pembelian disertakan jaminan 5 tahun, servis percuma 2 tahun, dan beg penyejuk edisi khas “Live The Ranger Life” sebagai hadiah penghantaran.

Ranger Raptor Sport boleh didapati dalam unit terhad di semua bilik pameran Ford seluruh negara bermula 15 November 2025, selagi stok masih ada.

GALERI:

Google ads
Back to top button