Buletin

GAC M8 – GENERASI KEDUA MPV MEWAH DENGAN REKAAN GRIL BESAR ALA LEXUS

Selepas mengakhiri jualan generasi pertama MPV yang laris terjual melebihi 200,000 unit, GAC kini memperkenalkan generasi kedua MPV mewah yang dikatakan mampu untuk menyaingi model Buick GL8 dengan elemen rekaan yang lebih moden dan garang.

GAC M8 generasi baharu ini membawakan bahasa rekaan ‘Soaring Wings 2.0’ pada bahagian jeriji dengan elemen rujukan daripada model LExus, diikuti dengan unit lampu LED dan lampu nyalaan siang yang merujuk kepada taring model-model Peugeot masa kini.

Identiti garang itu diteruskan di bahagian belakang dengan unit lampu LED berbentuk taring.

Sementara bahagian panel sisi MPV saiz penuh ini membawakan rekaan berlekuk, dengan binaan cermin yang besar serta pintu gelangsar.

Dari segi ukuran, GAC M8 ini membawakan dimensi sepanjang 5,212 mm, lebar 1,893 mm, tinggi 1,823 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,070 mm.

Rekaan kabin juga kini lebih moden dengan penggunaan bahan yang lebih berkualiti, diikuti dengan skrin infotainmen 14.6 inci di tengah, skrin kluster digital 12.3 inci, tombol gear beriluminasi dan sistem pencahayaan ambien.

Pembeli boleh mendapatkan dua tema warna yang berbeza, iaitu kombinasi hitam dan putih, serta ‘Royal Opera’ yang menggandingkan warna merah, emas dan putih.

Upholsteri pada bahagian tempat duduk dan panel pintu diinspirasikan daripada sulaman Cantonese, diikuti balutan kulit semi-aniline pada keseluruhan ruang kabin.

Pembeli juga boleh memilih untuk mendapatkan MPV dengan tujuh baris tempat duduk, atau konfigurasi empat tempat duduk untuk versi yang lebih mewah.

Spesifikasi trenkuasa tidak didedahkan buat masa ini, namun GAC bakal menawarkan M8 dalam varian petrol, hibrid penuh serta plug-in hybrid yang sama seperti model terdahulu.

Google ads
Back to top button