GAC SPACE CONCEPT – MPV DENGAN GRIL BBQ PALING BESAR
Entah kenapa, ada pengeluar yang suka berlumba-lumba untuk menampilkan rekaan gril yang paling besar dan paling gila dalam sejarah.
Terbaharu, Guangzhou Automobile Group (GAC) telah mendedahkan sebuah model konsep Space yang merupakan sebuah MPV dengan rekaan yang moden – kecuali bahagian depan yang hodoh.
Ini kerana GAC Space Concept ini cuba membawakan sesuatu yang mampu mengalahkan rekaan gril buah pinggang BMW, gril spindle Lexus serta gril Singleframe Audi, dengan elemen pencahayaan yang cuba untuk mengalahkan Rolls-Royce.
Di bahagian sisi, GAC Space mempunyai pintu gullwing yang besar, serta pintu belakang yang boleh dibuka untuk menyediakan ruang Tea Time Lounge – cuba untuk mengalahkan konsep yang sama pada model Cullinan.
Menurut GAC, konsep Space ini dibangun dengan teknologi swapandu Tahap 4, di mana perkakasan pemanduan boleh disorok secara automatik untuk membebaskan ruang yang lebih besar untuk MPV yang sudah sedia dilengkapi dengan sofa berbentuk L dan dua kerusi individu yang boleh berpusing.
Dari segi kuasa, Space Concept menampilkan trenkuasa sel bahan api hidrogen yang mampu menjana kuasa setinggi 180 hp dan 350 Nm, dengan jarak gerak sejauh 650 km untuk setangki hidrogen penuh.
Sementara pengisian semula mengambil masa sekitar tiga hingga lima minit sahaja, menjadikannya setanding dengan penggunaan kereta berenjin konvensional.
GAC juga turut mempersembahkan konsep enjin pembakaran dalaman berkapasiti 1.5 liter yang dibangun untuk menerima bahan api hidrogen – sama seperti apa yang dibuat oleh Toyota menerusi model prototaip GR Yaris dan Corolla Sports.