
JomChargeX DIPERKENAL DENGAN PENGECASAN 1200kW
JomCharge memperkenalkan jenama baharu JomChargeX yang memberi tumpuan kepada pengecasan DC ultra pantas untuk kenderaan elektrik (EV) dengan kapasiti pengecasan sehingga 1,200 kW. Teknologi ini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan EV generasi baharu yang menyokong sistem pengecasan berkuasa tinggi dan mengurangkan masa pengecasan bateri ketika perjalanan jarak jauh.
Menurut JomCharge, pengecas JomChargeX ditawarkan dalam kapasiti bermula 200 kW sehingga 1,200 kW, bergantung kepada konfigurasi lokasi dan keperluan pengecasan. Bagi EV yang menyokong sistem elektrik bervoltan tinggi serta kadar pengecasan yang sesuai, pengecas berkapasiti tinggi ini dikatakan mampu mengecas bateri daripada 20 kepada 70 peratus dalam sekitar lima minit.
Tetapi angka 1,200 kW tersebut merupakan kapasiti maksimum yang mampu disediakan oleh sistem pengecas dan bukannya kuasa yang akan diterima oleh setiap EV. Kadar pengecasan sebenar masih bergantung kepada keupayaan kenderaan, seni bina sistem elektrik, keadaan bateri serta tahap pengecasan atau state of charge (SOC) ketika pengecasan dilakukan.
Sebagai contoh, EV dengan sistem 800 volt atau 1,000 volt yang mempunyai kemampuan menerima kuasa pengecasan DC yang tinggi mempunyai potensi untuk memanfaatkan pengecas berkuasa besar seperti JomChargeX. Antara model yang mempunyai teknologi pengecasan berkuasa tinggi termasuk Zeekr 7X, XPeng X9 dan Denza Z9 GT.
Sebaliknya, EV yang mempunyai had pengecasan DC lebih rendah tidak akan menerima kuasa sehingga 1,200 kW walaupun disambungkan kepada pengecas tersebut. Sebuah kenderaan yang hanya menyokong pengecasan maksimum 71 kW, misalnya, masih terhad kepada sekitar 71 kW kerana sistem pengecasan pada kenderaan itu sendiri menjadi faktor penentu.

Buat masa ini, JomChargeX telah diperkenalkan di dua lokasi awal iaitu Sepang International Circuit dan XPark Sunway Serene. Di Sepang International Circuit, kemudahan tersebut mempunyai kapasiti keseluruhan 360 kW dengan enam muncung pengecas, manakala XPark Sunway Serene menawarkan kapasiti keseluruhan 480 kW melalui dua muncung pengecas.
Kedua-dua lokasi berkenaan bagaimanapun masih berada dalam fasa ujian persendirian dan belum dibuka kepada pengguna awam. JomCharge dijangka memperluaskan rangkaian JomChargeX secara berperingkat ke lokasi-lokasi strategik di seluruh negara bagi membolehkan pengguna EV mendapat akses kepada pengecasan DC berkuasa tinggi.
Antara lokasi yang sedang dalam pembangunan termasuk Ipoh, Tapah, Pulau Pinang, Yong Peng dan Johor Bahru, selain beberapa lokasi lain yang dirancang di sepanjang laluan utama serta kawasan tumpuan pengguna.
JomCharge turut menyasarkan lokasi seperti kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya, kawasan rekreasi serta lokasi pandu lalu restoran makanan segera sebagai sebahagian menawarkan rangkaian JomChargeX. Pendekatan tersebut dilihat sesuai dengan konsep pengecasan ultra pantas kerana pengguna boleh mengecas kenderaan dalam tempoh singkat sebelum meneruskan perjalanan.

Untuk membezakan kemudahan tersebut daripada pengecas JomCharge sedia ada, pengecas JomChargeX akan menggunakan rekaan balutan khas, manakala lokasi pengecas berkenaan juga akan ditampilkan dalam aplikasi JomCharge apabila rangkaian tersebut mula tersedia kepada pengguna.
Pengenalan JomChargeX hadir ketika industri pengecasan EV di Malaysia semakin menuju ke arah teknologi berkuasa tinggi. Selain meningkatkan jumlah pengecas awam, keupayaan mengecas dalam tempoh yang lebih singkat kini menjadi antara faktor penting untuk menggalakkan penggunaan EV, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.
Dengan kapasiti sehingga 1,200 kW, JomChargeX juga meletakkan Malaysia dalam perkembangan teknologi pengecasan berkuasa ultra tinggi yang kini semakin berkembang di pasaran automotif global. Namun, manfaat sebenar teknologi ini masih bergantung kepada kemampuan EV itu sendiri, sistem seni bina elektrik, bateri dan sistem pengurusan pengecasan yang sesuai mampu memanfaatkan kuasa pengecasan pada tahap tersebut.

