Artikel Pilihan

SKODA FABIA S2000 – KEBANGKITAN EVOLUSI KERETA RALI SKODA

Dewasa ini kereta rali Skoda Fabia R5 / Rally2 cukup popular dan dikenali, sebagai kereta rali yang boleh diharap untuk menang. Seluruh dunia sememangnya mengenali. Tapi barangkali kita lupa akan kewujudan Skoda Fabia S2000 ini. Penanda kebangkitan evolusi kereta rali milik Skoda.

Setelah empat tahun berundur dari arena perlumbaan World Rally Championship (WRC) tanpa sebarang kejayaan yang memberangsangkan, Skoda akhirnya memutuskan untuk kembali aktif dalam dunia rali, serentak dengan pengenalan generasi kedua Skoda Fabia pada tahun 2007. Tetapi mereka memutuskan untuk kembali dalam kategori yang baharu diperkenalkan oleh FIA ketika itu, Super 2000 Rally (S2000).

FIA ketika itu menetapkan peraturan bahawa kelas baharu Super 2000 Rally yang diperkenalkan ketika itu harus menepati beberapa syarat seperti penggunaan enjin NA yang bersesaran 2000 cc berserta dengan penggunaan alatan elektronik yang lebih minimal. Ini bermakna, perubahan yang lebih besar harus dilakukan bagi menyesuaikan dengan peraturan yang ditetapkan berbanding model Skoda Fabia WRC yang lebih canggih serta dilengkapi dengan enjin turbo. Walau pun menggunakan enjin NA, namun output kuasa yang dihasilkan mampu mencecah 280 HP, hanya kurang 20 HP berbanding model WRC sebelumnya.

Debut Skoda Fabia S2000 ini sewaktu Monte Carlo Rally 2009 dengan membariskan pemandu empat pemandu termasuklah Jan Kopecky dan Juho Hanninen untuk pasukan Skoda Motorsport. Dan hasilnya Juho Hanninen berjaya menduduki podium kedua berserta seorang lagi rakan sepasukan Nicolas Vouilloz yang menduduki podium ketiga.

Dan seterusnya model Skoda Fabia S2000 ini terus meluncur laju untuk mencatat kejayaan demi kejayaan terutamanya dalam International Rally Challenge (IRC). Paling manis sudah tentu kejayaan merangkul kejuaraan IRC pada tahun 2010 hingga 2012 berturut – turut melalui pemandu Juho Hanninen serta Andreas Mikkelsen. Malah tahun 2012 juga cemerlang buat Skoda Fabia S2000 ini apabila turut memenangi kejuaraan Asia Pacific Rally Championship (APRC) melalui Chris Atkinson.

Manakala Jan Kopecky pula muncul juara European Rally Championship (ERC) setelah penggabungan diantara IRC dan juga ERC bagi kalendar 2013. Kejuaraan peringkat kebangsaan turut diraih di Republik Czech, Jerman, Austria, Turki dan juga di Bulgaria.

Nah, inilah dia permulaan kepada kebangkitan Skoda Motorsport dalam arena rali di era moden ini. Walau pun tidak beraksi dalam kelas perdana, namun dominasi Skoda Fabia R5 / Rally2 sukar untuk dinafikan kejaguhannya. Mungkinkah Skoda Motorsport mahu beralih ke kelas WRC1 nanti?

BACA : ADA APA DENGAN SKODA FABIA RS RALLY2 INI?

BACA : PEMANDU INDONESIA BELI SKODA FABIA RALLY2 EVO – WOW!

Google ads

B K

Back to top button