Buletin

HYUNDAI SIAR GAMBAR ACAH MODEL COUPE SPORTS YANG MISTERI

Pada tarikh 15 Julai nanti, Hyundai akan memperlihatkan hala tuju jenama prestasi tinggi N di dalam era elektrifikasi yang semakin meluas pada ketika ini.

Serentak dengan itu, pengeluar Korea Selatan itu turut mendedahkan dua keping gambar acah yang memberikan petunjuk kehadiran dua buah model berprestasi tinggi dalam masa terdekat, dengan mesej “Anda mahukan keseronokan pemanduan dalam dunia kenderaan elektrik?”.

Ini bermakna, salah satu daripada dua buah model yang diperlihatkan itu merupakan sebuah kenderaan elektrik yang telah ditala untuk menyaingi model-model EV daripada Mercedes-AMG dan juga BMW M, berkemungkinan besar Ioniq 5 N.

Apa yang menarik perhatian adalah sebuah lagi model yang bertutup dengan kain itu (gambar utama) mempunyai garis badan kereta sports dua pintu yang klasik, diakhiri dengan pemasangan sayap yang sama tinggi dengan bumbung di bahagian belakang.

Untuk sebuah kenderaan elektrik berprestasi tinggi, sesebuah EV tidak memerlukan ruang ‘enjin’ yang besar disebabkan trenkuasa elektrik itu sendiri sudah pun tersedia kompak.

Namun dengan memperkenalkan sebuah coupe sports berkuasa elektrik, Hyundai dilihat cuba untuk memenuhi ruang niche di mana ia kini masih lagi belum mempunyai sebarang saingan daripada pengeluar lain.

Lebih banyak butiran lanjut bakal diketahui menjelang acara rasmi Hyundai N Day pada 15 Julai nanti.

Google ads
Back to top button