Buletin

GET LOST: PROJECT SAFARI, LOTUS ELISE INSPIRASI RALI!

Kereta berprestasi dijadikan kereta rali bukan perkara asing. Rali tidak merujuk kepada aksi terbang seperti Kejohanan Rali Dunia (WRC) tetapi juga perlumbaan jarak jauh merentasi negara.

Contoh terbaru boleh dilihat Lamborghini Huracán Sterrato dan Porsche 911 Dakar. Ini pula projek dari sebuah syarikat United Kingdom iaitu Get Lost yang diasaskan jurugambar automotif terkenal GFWilliams.

Get Lost: Project Safari adalah sebuah Lotus Elise S1 yang menjalani transformasi luar biasa seperti gambar-gambar di dalam artikel ini.

Project Safari menggabungkan keupayaan berinspirasikan rali, praktikaliti untuk perjalanan jauh, dan inovasi berasaskan reka bentuk dan semuanya dalam satu pakej tanpa kompromi.

Pengalaman luas GFWilliams dalam industri membentuk satu visi.

Visi tersebut ialah sebuah kereta yang mampu menjalin hubungan emosi dengan pemandu melalui reka bentuk, kejuruteraan, dan pencarian keseronokan yang tidak pernah terhenti.

Untuk menjadikannya satu kenyataan, satu pasukan pelbagai disiplin telah digabungkan yang terdiri daripada pakar perlumbaan, pereka studio dan jurutera fabrikasi.

Walaupun konsep sebegini tidak asing, sebuah Elise sebagai kereta projek adalah satu yang luar biasa.

Reka Bentuk

Get Lost: Project Safari bermula dengan kajian mendalam terhadap bentuk dan fungsi asal Elise.

Matlamatnya bukan untuk menafikan atau memadamkan elemen Elise yang menjadikannya istimewa, tetapi untuk menafsirkannya semula tanpa sebarang kekangan.

Project Safari menampilkan pertembungan di antara lengkungan lembut Elise dengan konsep rali.

Di antara ciri utama ialah skup bumbung, lampu hadapan segi empat serta bahagian dalalam menggunakan bahan bermutu tinggi.

Semua ini menyumbang kepada identiti baharu tanpa mengabaikan ciri-ciri sebuah Elise.

Pembangunan dan kejuruteraan

Get Lost: Project Safari menggunakan tayar jalan semua-permukaan (all-terrain road tyres) dan satu yang luar biasa.

Nampak canggung dan direka semata-mata untuk keseronokan. Di sebalik idea ini, Project Safari menampakkan sisi lain Elise dan turut mengingatkan kepada Lancia Stratos.

Dari situ, setiap aspek lain terbentuk mengikut logiknya tersendiri.

Sistem suspensi khas dibangunkan dan direka untuk mengekalkan maklum balas dan rasa pengendalian yang menjadi identiti Elise tetapi dengan kebolehgunaan yang jauh lebih praktikal dalam dunia sebenar.

Ketinggian badan dinaikkan sebanyak 100 milimeter (mm) dan pendakap lingkungan roda yang lebar dipasang. Komponen disalut seramik Cerakote untuk ketahanan lebih lama.

Bahagian bawah badan telah diperkukuh dan dilindungi sepenuhnya untuk merentasi pelbagai permukaan rupa bumi.

Setiap pembangunan dipertimbangkan berdasarkan kegunaan sebenar:

  • Lampu hadapan moden yang benar-benar mampu menerangi jalan.
  • Kerusi khas yang selesa untuk pemandu yang lebih tinggi dan lebar.
  • Tayar depan dan belakang dengan saiz sama untuk keseimbangan pemanduan yang menyeronokkan serta kemudahan membawa tayar gantian yang praktikal.

Pengalaman Pemanduan

Project Safari ialah sebuah kereta yang ringan, responsif dengan keunikan tersendiri. 

Kereta ini dibina untuk digunakan dan keseronokan. Kerana keseronokan sebenar tidak semestinya datang daripada angka, tetapi juga daripada rasa.

Di antaranya cara stereng memberi maklum balas, cara tayar bergerak cukup dan bagaimana kereta ini membuat pemandu ketawa setiap kali keluar dari selekoh atau ketika masuk selekoh sambil menarik brek tangan hidraulik.

Pembeza gelincir terhad (LSD) memberikan cengkaman yang boleh dijangka apabila pemandu memerlukannya dan gelinciran yang menghiburkan apabila pemandu mahukannya.

Get Lost tidak berkongsi berkenaan enjin kecuali rangkaian kuasa baharu yang memberikan prestasi tinggi dan boleh diharap.

Ketersediaan

Get Lost: Project Safari ialah model pertama daripada Get Lost dan pengeluaran untuk pelanggan dijangka bermula hujung tahun ini.

Google ads
Back to top button