
TOYOTA SUPRA A80 – INI BARULAH BETUL SUPRA KAN
Barangkali plat nama Toyota Supra ini tidaklah segah dan sehandal sekarang sambutan yang diterima peminat dan orang ramai suatu ketika dahulu. Toyota Supra generasi kelima ini sememangnya menerima sambutan yang cukup hangat buat penggemar dunia automotif.
Untuk yang tidak tahu, Toyota Supra ini telah mula diproduksi bermula pada tahun 1978 untuk generasi pertama (A40), diikuti generasi kedua pada tahun 1981 (A60), generasi ketiga (A70) pada tahun 1986.

Sudah tentu kesemua generasi Supra terdahulu ini kita tidak atau kurang mengenalinya. Ternyata bayangan jenama Toyota Celica lebih kuat berbanding jenama Toyota Supra ini.
Cumanya ketika generasi keempat (A80) diperkenalkan bermula tahun 1993 barulah masyarakat mula memberikan perhatian kepada Toyota Supra ini. Itu pun setelah kemunculan Toyota Supra berwarna jingga beraksi dalam permulaan trilogi filem Fast and Furious.
Jelas sekali penampilan Toyota A80 ini menampilkan rekaan yang lebih sporty dan menarik berbanding tiga generasi sebelumnya yang menampilkan imej sebuah model liftback. Berbanding generasi sebelumnya yang ada berkongsi komponen dengan model Celica, bermula generasi keempat ini ianya telah dipisahkan untuk lari daripada bayangan Celica.

Model A80 ini berkongsi platform dengan model Soarer Coupe yang dijual di pasaran Amerika Syarikat. Walau pun berkongsi dimensi yang hamper serupa namun model Supra ini lebih pendek beberapa inci berbanding saudaranya Soarer yang sedikit besar.
Selain daripada mempunyai rupa yang lebih garang, maka sudah tentu enjin NA 2JZ-GE barangkali juga sudah dianggap laju dengan output 220 HP dan 285 Nm. Akan tetapi, enjin yang lebih berkuasa 2JZ-GTE twin turbo turut diperkenalkan dengan output yang lebih buas 276 HP dan 431 Nm.
Walau pun nampak macam dah cukup berkuasa, namun untuk pasaran eksport ke luar dari Jepun, beberapa tingkat taraf telah diberikan meliputi turbo, penyuntik minyak yang telah menambahkan lagi kuasa kepada 326 HP dan 441 Nm.

Dari segi prestasi, ianya dilihat sebuah model kereta sport Jepun yang handal dan bergaya. Mampu memecut dari 0 – 60 mph dalam tempoh 4.6 saat serta mempunyai kelajuan maksimum sehingga 257 km/j. Walau bagaimana pun, ianya telah dihadkan kepada 180 km/j sahaja untuk pasaran Jepun dan 250 km/j untuk pasaran global.
Walau pun pernah hilang seketika dalam pasaran selepas tamat produksi pada 2002, namun kegilaan masyarat dunia terhadap model Supra ini kembali menaik apabila generasi kelima yang dihasilkan bersama BMW terus menggila.
Sama seperti adiknya, model yang juga dikenali dengan kod A90 juga turut beraksi dalam trilogy Fast and Furious dengan dipandu oleh ahli gusti John Cena.
BACA : TOYOTA SUPRA LEGEND FAST AND FURIOUS CATAT REKOD. DIJUAL PADA HARGA RM2.3 JUTA!!!