" "
Buletin

GO AUTO DAN SIRIM METERAI KERJASAMA STRATEGIK

Go Automobile Manufacturing Sdn. Bhd. (GAM), satu cabang pembuatan Go Auto Group of Companies dan SIRIM Berhad, sebuah agensi penyelidikan dan teknologi utama negara di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama strategik jangka panjang di antara kedua-dua pihak.

MoU ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Kerjasama strategik ini merangkumi empat bidang utama iaitu pembangunan dan peningkatan produk, teknologi, tenaga manusia serta pasaran atau industri.

Usahasama membolehkan GAM mengakses kemudahan penyelidikan SIRIM. Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan latihan teknikal bagi melaksanakan projek atau produk di bawah perkongsian ini.

“Go Auto amat teruja dengan kerjasama bersama SIRIM, satu badan yang berpengalaman dan memiliki kepakaran lebih 40 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi negara.

Kelebihan mereka dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, selain memastikan standard dan kualiti industri menjadikan mereka rakan kongsi yang baik untuk syarikat kami,” kata Azli.

Pengilangan GAM dapat memenuhi keperluan kawal selia dan pasaran. Ini secara tidak langsung boleh mengurangkan pengeluaran dan kos R&D. Kerjasama ini juga sejajar dengan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) iaitu untuk menghasilkan produk yang memenuhi piawaian dan keperluan antarabangsa.

SIRIM mempunyai rekod prestasi yang membolehkan produk dan perkhidmatan Malaysia mencapai pengiktirafan di seluruh dunia dari segi kualiti dan inovasi.

Prof Ir Dr Ahmad Fadzil menyatakan bahawa SIRIM kini berada pada kedudukan terbik untuk menerajui industri Malaysia ke Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).

Antara bidang kerjasama termasuklah pembangunan dan penambahbaikan keupayaan dan kapasiti bateri cas semula berasaskan lithium ion untuk menggantikan bateri asid plumbum di pasaran automotif.

Di samping pembangunan teknologi kenderaan hijau, melibatkan bateri untuk basikal dan motosikal serta pembangunan bateri sodium ion sebagai alternatif kepada bateri lithium ion.

Bidang usahasama lain termasuklah Prototaip Pantas dan percetakan 3D untuk pelajar TVET MARA, kemudahan Pengesahan Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval Testing) untuk e-mobiliti seperti yang dimandatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

“Kerjasama ini tepat pada masanya sebagai inisiatif menyokong aspirasi dan usaha kerajaan dalam mengubah perniagaan Malaysia untuk menghadapi cabaran Industri 4.0.

“Kami berazam untuk memanfaatkan Program Pembangunan PKS SIRIM dan Industri 4.0 dalam bidang Additive Manufacturing, Artificial Intelligence, Smart Manufacturing dan peranti Internet of Things (IOT),” kata Prof Ir Dr Ahmad Fadzil.

Rasionalisasi kolaborasi ini dijangka selesai dalam tempoh dua tahun selepas pemeteraian MoU.

Google ads
Back to top button