Buletin

GRAPHJET TECHNOLOGY BEKAL GRAFIT DAN GRAFIN UNTUK BASIKAL ELEKTRIK TOYODA TRIKE

Toyoda Trike Inc, pembuat dan pengeluar kenderaan elektrik serta motosikal elektrik Jepun, akan bekerjasama dengan Graphjet Technology Sdn Bhd untuk mendapatkan bekalan grafit dan grafin.

Menurut Toyoda Trike dalam satu kenyataan, ia bagi pengeluaran basikal elektriknya.

Graphjet menukar cangkerang isirung sawit kepada grafit dan grafin dan disebut-sebut sebagai satu-satunya syarikat yang mempunyai keupayaan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Toyoda Trike Toyoda Misako berkata Graphjet akan menjadi pembekal bahan mentah utama untuk pengeluaran basikal elektriknya.

Toyoda Trike ialah sebuah syarikat persendirian  di Jepun yang mengkhususkan dalam penyelesaian mobiliti neutral karbon seperti kenderaan elektrik dan motosikal.

Pemegang saham terbesarnya ialah keluarga Toyoda, iaitu generasi keempat pembuat kereta Toyota Corporation.

Bersama-sama dengan Asia Development Capital Co. Ltd (ADC) yang tersenarai di Tokyo dan Toyota Corporation, mereka memiliki lebih daripada 80 peratus pegangan dalam Toyoda Trike.

Ketua Pegawai Eksekutif ADC Anselm Wong berkata: “Bahan mentah utama seperti grafin dan grafit adalah penting dalam pengeluaran bateri yang tahan lama.

“Dengan permintaan semakin meningkat untuk kenderaan elektrik dan basikal elektrik, kami perlu bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan bekalan bahan mentah ini tidak terganggu,”katanya.

Grafin dan grafit turut digunakan untuk membuat komponen-komponen lain basikal elektrik selain daripada bateri.

Pengarah Urusan Graphjet Jay Aw berkata perkongsian itu akan membantu mempercepatkan penggunaan penyelesaian mobiliti neutral karbon di Malaysia dan Asia Tenggara kerana rancangan itu adalah untuk memasarkan basikal elektrik di Malaysia dan bahagian lain di Asia Tenggara.

“Ini memberi kami peluang untuk mengembangkan kehadiran kami dalam ruang kenderaan elektrik, dan berpotensi dalam munculnya era baharu bateri tahan lama,” kata Aw dalam kenyataan itu.

Memandangkan kepentingan bahan mentah utama seperti grafin dan grafit, Graphjet akan memastikan kesesakan logistik dan gangguan rantaian bekalan adalah minimum. –Bernama

Google ads
Back to top button