Buletin

GR COROLLA ‘MORIZO EDITION’ – LEBIH HARDCORE, 300 HP/400 NM, BUANG TERUS KERUSI BELAKANG!

Salah satu hot hatch yang hangat diperkatakan masa kini adalah GR Corolla yang baharu sahaja mendarat di pasaran Amerika Syarikat, dan kini Toyota membawakan sebuah lagi varian yang lebih hardcore, dikenali sebagai GR Corolla ‘Morizo Edition’.

Untuk pengetahuan para pembaca, nama Morizo itu sebenarnya merupakan nama panggilan yang digunakan oleh presiden Akio Toyoda itu sendiri ketika ‘bertempur’ di litar lumba.

Bersempena dengan itu, GR Corolla Morizo Edition ini sudah pasti dihasilkan dalam versi yang lebih hardcore, sesuai untuk kegunaan di litar lumba.

Enjin asal inline-3 1.6 liter turbo G16E-GTS masih lagi digunakan, namun kini hadir dengan talaan kuasa setinggi 300 hp dan 400 Nm, berbanding 370 Nm pada model standard.

Selain itu, Toyota telah menala semula julat putaran enjin di mana tork puncak kini hadir bermula dari 3,250 hingga 4,600 rpm, berbanding 3,000-5,500 rpm pada model asal.

Kotak gear enam kelajuan turut dikekalkan, namun dengan nisbah yang lebih rapat, memberikan kelebihan pecutan yang lebih pantas.

GR Corolla Morizo Edition hanyalah seberat 1,445 kg, atau 48 kg lebih ringan berbanding GR Corolla Circuit Edition, di mana ia melibatkan pembuangan komponen seperti tempat duduk belakang, pembesar suara belakang, alat kawalan tingkap, penyeka kaca belakang, dan motor wiper.

Selain itu, Morizo Edition ini turut didatangkan dengan rim aluminium 18 inci 10 jejari dengan balutan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 245/40.

Bukan itu sahaja, model ini turut mendapat liang sejukan brek depan yang berfungsi sepenuhnya, sementara spoiler belakang adalah lebih kecil, diikuti dengan bumbung gentian karbon.

Google ads
Back to top button