Buletin

GT-R 3000 HP CIPTA REKOD PECUTAN BARU – SUMPAH TAK TIPU, MEMANG 3000 HP.

Anda tidak silap baca dan kami pun tidak tersalah taip. GT-R ini memang mempunyai kuasa maksima 3000 bhp. Bayangkan potensi yang ada pada sebuah Nissan GT-R. Ia sememangnya sebuah kereta yang sentiasa menjadi bahan eksperimen syarikat-syarikat tuner untuk menghasilkan kereta paling laju.

Hujung minggu lepas, Extreme Turbo Systems (ETS) telah membawakan GT-R mereka yang mempunyai 300 bhp kuasa ke lapangan drag dan berjaya mencipta rekod baru iaitu dengan catatan masa 6.91 saat dalam jarak suku batu (0.4 kilometer).

Sewaktu ujian dijalankan, tahap boost telah ditala kepada satu tahap yang tidak masuk akal sehinggakan supercar Jepun itu kelihatan hampir kehilangan cengkaman kerana tayarnya berpusing terlalu ligat sepanjang masa. Malah hampir-hampir ia gagal dikawal pemandunya dan seolah hampir terbabas. Tapi akhirnya semua berjalan lancar dan catatan rekod baru berjaya dilakukan.

BACA: 3 PERKARA YANG MEMBUATKAN NISSAN GT-R NISMO SANGAT LUAR BIASA

Selepas berjaya dalam satu cubaan, pihak ETS masih lagi belum berpuas hati danmenala kembali boost sehingga berjaya membuat catatan baru, 6.88 saat dalam jarak suku batu. Kelajuan maksima yang berjaya dicatat dalam jarak tersebut ialah 358 km/j!

Untuk rekod kelajuan maksima Lamborghini Aventador ialah 350 km/j, itu pun bukan dicapai dalam jarak suku batu. Tiara hybrid AJ pula mampu mencatat kelajuan maksima 150 km/j dalam masa 2 jam 30 minit mengikut perkiraan Pak Amid.

ETS sebenarnya saling bersaing dengan beberapa tuner lain seperti AMS Performance dan Ekanno Racing untuk menghasilkan GT-R terpantas di dunia. Dengan rekod baru ini, ETS nampaknya kekal mendahului buat masa ini. Agak-agak berapa ribu bhp pula GT-R talaan mereka akan keluar lepas ni? Saksikan video bagaimana catatan rekod baru ini dilakukan.

Google ads
Back to top button