
TOYOTA COROLLA 80AN INI MERUPAKAN JENTERA DRAG TERLAJU DI HAWAII – BIAR BETIK?
Perlumbaan drag bukan satu perkara yang asing di bumi AS dan kebanyakan jentera drag di sana menggunakan enjin V8 ataupun LS. Tapi seorang pemuda di Hawaii bertindak menongkah arus dan menggegarkan landasan drag dengan menggunakan sebuah Toyota Corolla keluaran tahun 1981. Pergh, macam kereta tok guru mengaji abang ni dik. Jangan pandang rendah sebab ia bakal menjadi jentera terpantas di Hawaii.

Kereta ini didedahkan oleh Larry Chen, seorang jurugambar terkenal dari LA yang banyak menghasilkan video kereta-kereta unik dan dikenali ramai kerana bekerjasama dengan Ken Block.
Inilah Toyota Corolla E70 milik Alex Sylva yang kita kenali sebagai Corolla DX di Malaysia. Dalam video Chen ini Sylva menyatakan perancangan beliau dalam membina kereta ini dan hasrat beliau untuk menggegarkan rekod perlumbaan drag suku batu yang terkenal di AS. Habis la Toretto lepas ni.

Kereta keluaran 80an ini kini dikuasakan enjin yang digelar 1.5JZ. Mana datang pulak ni? Ooo, rupanya ia adalah kacukan kepala enjin 1JZ dan blok daripada 2JZ. Di atas mesin Dyno, Corolla ini berjaya menghasilkan 740 hp kuasa. Mungkin tak cukup berkuasa untuk sebuah kereta drag tapi jangan pandang rendah dengan catatan masa suku batunya.
Sylva mendakwa Corolla dragster beliau ini mampu mencatat masa 9.5 saat untuk suku batu pada kelajuan hampir 240 kmj! Sebagai perbandingan ia hanya kurang 0.25 saat daripada cubaan rekod yang sama oleh John Leno menggunakan Tesla Model S Plaid. Itu kereta elektrik dengan keupayaan menghamburkan tork maksima dari kedudukan static. Ini Corolla keluaran masa abang darjah satu.
Perlumbaan bukan satu perkara asing untuk Corolla ini yang memang dihasilkan dengan pacuan belakang dari kilang. Kebanyakan komponen suspensi yang digunakan untuk mengekang anjakan kuasa kereta ini dihasilkan oleh Techno Toy Tuning.

Berat memang satu isu besar untuk kereta-kereta drag dan Corolla ini sebenarnya masih mempunyai panel badan standard, sistem audio dan material penyerap bunyi. Ooo belum masuk panel badan karbon jadi kegilaan kaki kereta Malaysia pun lagi. Power betul ni.
Untuk lawatan sambil belajar ke landasan drag lagi sekali Sylva berhasrat untuk membuat catatan 8.90 saat untuk suku batu. Ingat sikit geng, itu sebenarnya lebih laju daripada kelajuan supercar moden seperti Ferrari SF90 Stradale dan Bugatti Chiron Sport.
Kalau betul dapat pecahkan rekod tu #baikbeli Toyota Corolla DX je kan?







