Artikel Pilihan

NISSAN MID4 – MODEL YANG SEPATUTNYA MENJADI SUPERCAR PERTAMA JEPUN

Bila syarikat Jepun memperkenalkan supercar mereka kepada dunia, ia semestinya sebuah model yang cukup mempersonakan. Honda NSX, Lexus LFA dan Nissan GTR semuanya memberikan sesuatu yang berbeza daripada supercar dari Eropah. Nissan sebenarnya sudah lama mencetuskan idea untuk menghasilkan supercar pertama Jepun yang dinamakan MID4 tetapi entah kenapa ia dibatalkan dari pengeluaran.

Dipertontonkan kepada umum pada Frankfurt Motor Show 1985, MID4 merupakan sebuah model konsep yang disasarkan untuk bersaing dengan Porsche dan Ferrari. Namun ia gagal membuktikan kehebatannya bila Nissan membatalkan projek tersebut hanya beberapa tahun selepas MID4 II diperkenalkan.

MID4 merupakan sebuah model coupe dua tempat duduk dengan kedudukan enjin yang sama seperti sebuah Ferrari, enjin di tengah dengan pacuan tayar belakang.

Tugas untuk membangunkan MID4 telah diserahkan kepada sepasukan pereka dan jurutera yang diketuai oleh Shinichiro Sakurai pada musim bunga 1984. Empat buah prototaip telah disiapkan menjelang Mac 1985.

BACA: NISSAN R390 GT1 – INILAH DATUK KEPADA SKYLINE DAN GTR

MID4 menggunakan enjin rekaan baru ketika itu iaitu VG30DE yang digandingkan dengan sistem AWD (pacuan semua roda). Agihan kuasanya ialah sebanyak 33 peratus di hadapan dan 67 peratus ke roda belakang. Ia juga merupakan model Nissan pertama yang menggunakan sistem stereng serba baru HICAS (High Capasity Active Controlled Steering). MID4 dikatakan mampu mencatat kelajuan maksima 249 km/j.

Dua tahun selepas MID4 diperkenalkan, Nissan telah mempamerkan MID4 II di Tokyo Motor Show 1987 dengan ciri-ciri tingkat taraf berbanding moel sebelumnya. MID4 II juga dibekalkan dengan pengecas turbo berkembar (VG30DETT) yang mampu menjana 330 bhp kuasa maksima. Malangnya ia juga tidak dikeluarkan akibat kos yang terlalu tinggi. Pernah dengar kod enjin itu sebelum ini? Ia bukannya sesuatu yang pelik kerana ia juga enjin yang sama dilengkapkan pada model 300ZX.

Walaupun kereta-kereta hebat ini tidak pernah dikeluarkan, jasa dan sumbangannya memang cukup tinggi kerana teknologi baru yang ada padanya telah dimajukan lagi dan dilengkapkan pada generasi seterusnya seperti Skyline GT-R dan Silvia.

Kenapa ia wajar digelar sebagai supercar pertama Jepun? Bukankah gelaran itu milik Honda NSX generasi pertama. Jawapannya mudah sahaja, Honda NSX hanya diperkenalkan beberapa tahun selepas MID4 dan MID4 II dipamerkan kepada umum.

GALERI:

 

Google ads
Back to top button