
KINI ANDA BOLEH BELI BLOK ENJIN 2JZ TERKUAT DALAM SEJARAH – BETUL KE NI?
Enjin 2JZ daripada Toyota ni memang tak payah diperkenalkan kepada kaki-kaki kereta di seluruh dunia kerana kemampuannya menahan bebanan kuasa yang berlipat kali ganda berbanding enjin lain (tak payah la sebut enjin mana).

Mula diperkenalkan pada model Supra MK4 dan kini ia masih merupakan pilihan utama pelumba-pelumba drag segenap pelosok dunia kerana kemampuannya menahan tekanan boost yang tinggi jauh lebih baik berbanding enjin lain. Tapi sebaik mana pun binaan enjin ini ia masih mempunyai hadnya. Mujurlah ada sokongan daripada pengeluar alat ganti aftermarket datang memberikan bantuan (sambil nak buat duit).
Banyak sebenarnya syarikat pengeluar yang sudah menghasilkan pilihan blok untuk enjin 2JZ tapi terbaru Dart Machinery, sebuah syarikat pengeluar komponen enjin untuk kegunaan perlumbaan drag baru sahaja memperkenalkan blok aftermarket paling kuat dan tahan lasak untuk enjin 2JZ. Sekurang-kurangnya itulah dakwaan mereka sewaktu memperkenalkannya.

Dihasilkan sepenuhnya daripada besi tempa, blok 2JZ keluaran Dart telah dinaiktaraf dengan pelbagai pelbagai cara untuk memastikan ia adalah yang terbaik berbanding enjin standard dan pesaing dari industri aftermarket.
Liang-liang bendalir penyejuk telah dilaraskan semula siap dengan freeze plugs di kedua-dua bahagian selinder. Ketebalan dek dinaikkan lagi dan blok ini kini boleh menerima stroke maksima 94mm dan bore maksima 88mm. Secara total ia boleh mencapai sesaran maksima 3.43 liter.
Dart mendakwa yang tidak akan ada blok lain yang lebih kuat dari ini. Satu dakwaan yang berani memandangkan Titan Motorsports dan Grannas Racing turut menawarkan blok 2JZ versi mereka sendiri yang dihasilkan daripada billet aluminium.

Penggunaan besi tempa bermakna blok keluaran Dart ini akan menjadi lebih murah berbanding unit yang dihasilkan daripada billet aluminium. Cuma kalau nak tahu betul ke tidak ia adalah lebih kuat berbanding blok keluaran syarikat lain memang kena tunggu dulu la.
So macam mana ni? Boleh tak beli dulu blok ni sementara enjin 2JZ untuk Alza abang sampai.