Buletin

GUNA FORD FOCUS RS SEBAGAI TEKSI, PEMANDU INI JADI LAGENDA TEMPATAN

Seorang pemandu teksi dari Norway menghidupkan watak hero filem Taxi dalam kehidupan sebenar.

Jika dalam filem Taxi lakonan Samy Naceri itu menggunakan sebuah Peugeot 406 tahun 1997, pemandu teksi Evald Jåstad pula memandu sebuah Ford Focus RS.

Jåstad dilaporkan menjadi lagenda tempatan kerana inisiatifnya membawa penumpang di dalam kereta berkuasa tinggi itu. Dia dikatakan telah menggunakan Focus RS tersebut sebagai teksi sejak 18 bulan lalu.

Dalam tempoh tersebut, kereta itu mencatat perbatuan sejauh 127,000km selepas membawa penumpang sekitar bandar Odda, Norway.

Penduduk tempatan menggelar Focus RS itu sebagai ‘Blue Lightning’. Selain cat berwarna biru, pelekat dan lampu teksi pada bumbung, Jåstad turut memasang hot hatch kesayangannya itu dengan satu set rim gaya rali berwarna putih.   

“Ini merupakan Ford Focus RS pertama yang dijadikan teksi. Sesiapa yang mempunyai masalah pendengaran pun boleh mendengar enjin kereta ini dari jauh,” kata Jåstad yang meminati sukan rali sejak kecil lagi.

“Blue Lightning ialah teksi yang terbaik. Saya suka menaikinya,” kata seorang makcik berusia 96 tahun.

Sebagaimana yang kita tahu, Focus sememangnya sebuah hot hatch yang cukup praktikal untuk membawa empat orang penumpang. Apa yang pasti, teksi Focus RS itu memberi pengalaman mengujakan kepada semua pelanggan Jåstad.

Focus RS dikuasakan oleh enjin 2.3 liter EcoBoost yang mampu menjana 350hp dan 474Nm tork.

Kuasa itu kemudian disalurkan oleh kotak gear manual enam kelajuan kepada sistem pacuan semua roda. Ia boleh mencatat kelajuan 0-100km/j dalam masa 4.7 saat sahaja.

Google ads
Back to top button