GURAUAN HONDA – HON EMOJI YANG MENGELUARKAN TONA BERBEZA MENGIKUT EMOSI
Anda suka menggunakan emoji sewaktu menaip mesej kepada kenalan? Semestinya ramai yang suka bukan? Ia adalah jalan singkat menunjukkan perasaan dengan hanya menggunakan satu logo.
Kini Honda muncul sebagai syarikat permotoran pertama mengeluarkan hon Emoji untuk kenderaan mereka. Ia dinamakan Honda Horn Emoji dan digunakan untuk berkomunikasi antara kenderaan-kepada-kenderaan dan kenderaan-kepada-manusia. Ia merupakan hasil kajian Honda Dream Lab yang berusaha untuk melestarikan teknologi permotoran untuk masa depan.
Tak dinafikan, bunyi hon kenderaan memang seringkali mengundang salah faham antara pengguna jalan raya. Kadang-kadang tujuan anda disalah erti sebagai provokasi dan boleh mengundang kemarahan pengguna lain.
Hon untuk menyapa jiran tetangga dengan mesra silap tekan bunyi macam nak mintak hutang. Sudah tentu kecoh bukan? Kini dengan Honda Horn Emoji, masalah ini mungkin dapat diselesaikan.
Hon baru ini diintegrasikan sekali dengan roda stereng anda untuk kemudahan operasi. Ia dibunyikan dengan menekan butang-butang yang dilabelkan seperti emoji telefon pintar anda untuk menzahirkan emosi pada ketika itu.
Contohnya jika anda sedang gembira, tekan sahaja butang emoji gembira. Begitu juga jika anda sedang marah, satu sentuhan pada butang dan hon anda akan berbunyi seperti kereta anda sedang marah. Jangan salah faham ya, bunyi yang dihasilkan masih seperti hon kereta tetapi kini ia lebih berirama dan bukannya menggunakan suara manusia seperti peranti GPS.
Selain daripada emoji khusus untuk manusia, terdapat juga emoji khusus untuk anjing untuk menyedarkan mereka dengan kehadiran kenderaan yang anda pandu. Ia menghasilkan bunyi yang boleh didengari oleh anjing tetapi tidak kepada manusia kerana deria pendengaran anjing yang lebih luar biasa.
Malangnya masih belum ada emoji khusus untuk haiwan lain seperti lembu yang sering kali berkeliaran di jalan-jalan kampung di Malaysia. Untuk kucing pun belum ada, kalau ada elok juga sebab kucing juga merupakan antara haiwan yang sering menjadi korban di jalan raya.
Menurut Alice Alerto, jurutera yang bertanggungjawab membangunkan hon emoji ini, hon baharu ini merupakan satu teknologi termaju dalam menzahirkan ekspresi seorang pemandu dengan berkesan berbanding dengan hon paten lama. Ia merupakan satu alat yang sudah lama diperkenalkan tetapi tidak dibangunkan selari dengan kemajuan peralatan lain di dalam sebuah kenderaan.
BACA: TEKNOLOGI GYRO MOTOR HONDA BERDIRI SENDIRI
BACA: TAHUKAH ANDA BR-V LEBIH LARIS DARI ALZA?
Untuk membangunkan hon emoji ini, Honda telah menggunakan data-data yang dikumpulkan oleh para saintis sosial dan pakar audiologi untuk mengenal pasti bunyi yang paling sesuai digunakan untuk menggambarkan emosi tertentu.
Penyelidikan juga menunjukkan kemarahan merupakan faktor pertama kenapa kita sering membunyikan hon. Kini Honda cuba maju setapak lagi dengan menggunakan hon untuk menunjukkan yang seorang pemandu itu dalam keadaan gembira, cinta dan empati.
Jika sebelum ini penggunaan emoji lebih kepada aspek visual, kini ia dimajukan lagi oleh Honda dalam bentuk audio. Buat masa kini ia sudah dilengkapkan ada model Honda Odyssey 2018 dan akan diperkenalkan secara berperingkat untuk model-model Honda lain. Persoalannya adakah Honda akan melengkapkannya ada model Civic Type R selepas ini? ataupun pada model-model superbike Honda mungkin?
Tahniah sebab baca sampai habis. Rupa-rupanya ini adalah siaran akhbar “April Fool” dari Honda. Letih dah Abang Japar terjemah dari malam tadi. Penat tau!
Ada siapa-siapa nak makan penampar sedas dua?