Buletin

BMW 530i M Sport – RM398,800

BMW Group Malaysia baru-baru ini memperkenalkan BMW 5 Series serba baharu. Sudah memasuki generasi ketujuh, sedan sports eksekutif itu memiliki penampilan yang cukup mengujakan. Maka tidak hairanlah jika ia memenangi anugerah iF Gold Award 2017 dan menjadi World Luxury Car of the Year Award 2017.

Reka bentuk: atletik, kemas dan berprestij.

BMW 530i M Sport mencetuskan impresi yang penuh kuasa. Buat pertama kalinya, gril kidney dan lampu utama digabungkan bersama. Lampu utama BMW Adaptive LED sepenuhnya dan lampu nyalaan siang LED telah dipertingkatkan dengan lampu berbentuk bulat serta lampu tinggi yang menawarkan jarak sehingga 500 meter.

Aplikasi konsep rekaan BMW EfficientLightweight digunakan secara meluas. Penggunaan bahan aluminium dan besi berkekuatan tinggi berjaya mengurangkan berat BMW 5 Series serba baharu sehingga 100kg berbanding model sebelumnya.

Chasis rekaan baru, titik graviti rendah, pembahagian berat seimbang yang menjadi DNA BMW. Banyak penambahbaikan dari segi aerodinamik dan elemen untuk mengoptimumkan laluan angin telah dibuat.

Ini termasuklah unit kawalan corong udara di dalam gril, inlet udara, Air Curtains pada apron hadapan dan ciri Air Breathers pada wings hadapan. Semua ini menyumbang kepada tahap pekali seretan yang terbaik berbanding mana-mana sedan lain (sehingga cd=0.22).

Dengan pakej M Sport, BMW 530i M Sport dilengkapi rim aloi ringan bersaiz 19 inci dengan rekaan dua jejari bersama gabungan tayar, brek M Sport dan angkup yang dicat berwarna biru dengan huruf ‘M’.

Tidak ketinggalan, komponen-komponen M Aerodynamics yang didatangkan dengan warna badan, penutup sil sisi, apron hadapan dan belakang jelas menampilkan sifat BMW 5 Series Serba Baharu yang atletik.

Di ruang kabin pula, BMW 5 Series serba baharu dipasang dengan tempat duduk sports untuk pemandu dan penumpang hadapan. Di samping kemasan sil pintu M berlampu, pedal M yang baru dan stereng M dibalut kulit.

BMW 5 Series memiliki dimensi yang terbaik dalam kelasnya: 4,936 mm (+29mm) panjang, 1,868 mm (+8mm) lebar dan 1,479 mm (+2mm) tinggi. Dimensi baru ini menjanjikan keselesaan dan ruang lebih luas untuk semua penumpang. Selain ruang but kargo lebih besar mencecah 530 liter.

Rangkain kuasa: pemanduan dinamik dan efisien.

Enjin petrol 4 silinder sebaris generasi terkini bersesaran 2.0 liter dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan Steptronic Sport. Rangkaian kuasa tersebut mampu menawarkan kuasa maksimum 252hp, tork sehingga 350Nm dan pecutan dari 0 – 100km/j dalam masa cuma 6.2 saat bersama kelajuan maksimum 250km/j.

Purata penggunaan bahan api ialah 5.8 liter bagi setiap 100km dengan emisi C02 sekitar 132 gram bagi setiap satu kilometer.

Sistem Driving Experience Control kini menawarkan mode keempat, ADAPTIVE – tambahan kepada mode pemanduan COMFORT, SPORT dan ECO PRO. Mode ADAPTIVE berfungsi bersama Dynamic Damper Control (DDC) dan Navigation System Professional di mana stereng, DDC serta sistem Steptronic akan mengadaptasi gaya pemanduan semasa serta laluan secara automatik.

Kejayaan baru menerusi teknologi.

Dilengkapi sistem iDrive generasi terkini, ia memaparkan ciri navigasi, hiburan dan fungsi kenderaan menerusi skrin sentuh beresolusi tinggi bersaiz 10.25 inci. Sistem itu boleh dioperasi menggunakan kawalan iDrive, arahan suara, gestur atau menyentuh paparan secara langsung.

Pengalaman pengguna ditingkatkan lagi menerusi BMW Gesture Control. Operasi yang mudah dan intuitif ini berfungsi melalui gestur tersendiri untuk dikenal pasti dengan tepat.

BMW 5 Series kini lebih menonjol dengan inovasi termaju pada sistem bantuan pemandunya. Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go mampu mengubah suai kelajuan yang telah ditetapkan sebelum ini berdasarkan kepada situasi trafik menggunakan radar dan data kamera.

Boleh beroperasi pada kelajuan sehingga 210km/j, ia berupaya memperlahan dan memberhentikan kenderaan apabila jalan raya mulai sesak. Satu lagi sistem bantuan pemandu ialah Speed Limit Info dengan Intelligent Speed Limit Assist.

Selain Lane Departure Warning dan Lane Change Warning, BMW 5 Series juga dilengkapi fungsi Approach Control Warning & Person Warning dengan City Brake.

Sistem Crossing-Traffic Warning Rear memberi bantuan kepada pemandu apabila hendak mengundur keluar dari ruang parkir. Digabungkan dengan kamera Pandang Belakang, sistem Crossing-Traffic Warning Rear menyediakan paparan imej yang jelas.

BMW 5 Series serba baharu didatangkan dalam warna hitam, kelabu, putih dan biru. Warna luaran itu dipadankan dengan upholsteri dalaman berwarna hitam yang dikontras bersama jahitan biru atau Kulit Dakota Cognac bersama jahitan berwarna kontras (hanya untuk warna putih, kelabu dan hitam).

 

BMW 530i M Sport ditawarkan pada harga RM398,800 seunit (di atas jalan, tidak termasuk insurans). Ia juga hadir bersama jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW.

BACA: JIKA BMW NAK BUAT PIKAP, MUNGKIN INILAH RUPANYA

BACA: NAK BELI TOURING? TUNGGU DULU, BMW 310GS AKAN DILANCARKAN SEBELUM OGOS, BAWAH RM35K 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button