Motosikal

GWM BAKAL LANCAR MOTOSIKAL SULUNG MEI INI – 2,000CC, 8 SILINDER

Great Wall Motor (GWM) merupakan antara jenama kenderaan empat roda dari China yang terkenal di pasaran global. 

Jenama GWM turut dikenali di Malaysia dan menawarkan pelbagia jenis model di bawah lencana Haval, Tank dan Ora. 

Bagaimanapun, GWM bakal memperkembangkan perniagaan mereka ke dunia motosikal menerusi jenama Souo Motorcycle. 

Difahamkan, GWM akan melancarkan dua model baharu pada tahun ini dengan masing-masing dikuasakan enjin boxer 8-silinder.

Menariknya, GWM dilaporkan akan mendedahkan kedua-dua motosikal berkuasa tinggi ini di Beijing International Motor Show yang akan berlangsung pada Mei. Rupa awal kedua-dua model terbabit telah pun kelihatan menerusi gambaran ‘spy shot’.

Lebih mencuri tumpuan, kami difahamkan motosikal gaya ‘cruiser’ itu ‘meminjam’ kerangka mirip Honda GL1800 Gold Wing. Bukan itu sahaja, susun atur enjin tersebut juga menyerupai enjin Gold Wing kecuali kedudukan transmisi yang diposisikan bawah enjin agar tampil lebih kompak. 

Seperti Gold Wing, paten yang diterbitkan juga jelas menampakkan penggunan kotak gear semi-automatik, ‘dual-clutch’ yang dipadankan dengan sistem shaft sebagai penggerak terakhir. 

Dalam pada itu, GWM turut memuat naik video di media sosial yang memaparkan pengerusi GWM, Wei Jianjun berjalan bersama kakitangan GWM bagi melihat kereta elektrik Xiaomi SU7 yang dihadiahkan kepadanya oleh Xiaomi. Apa yang mencuri tumpuan kami adalah penampakan kelibat sebuah jentera di bahagian belakang yang berkemungkinan besar merujuk kepada motosikal yang aka diperkenalkan tidak lama lagi.

Maklumat rasmi dan terperinci dijangka akan diketahui pada bulan Mei ini. 

Google ads
Back to top button