
GWM ORA 5 HEV TAMPIL DENGAN 223 PS & 476NM. 1100KM UNTUK 1 TANGKI PENUH
GWM ORA 5 HEV menandakan perkembangan baharu bagi jenama ORA di Malaysia apabila model crossover urban hibrid ini diperkenalkan dengan gabungan reka bentuk yang lebih ekspresif, lengkap teknologi hybrid baharu serta fokus terhadap keperluan mobiliti pengguna bandar.
ORA 5 HEV menjadi sebahagian daripada usaha GWM untuk mengembangkan potensi jenama ORA daripada jenama yang sebelum ini lebih sinonim dengan kenderaan elektrik kepada ekosistem mobiliti dan gaya hidup bandar yang lebih luas.
GWM sebelum ini telah mempamerkan ORA 5 di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 memberikan gambaran lebih dekat mengenai konsep dan teknologi yang dibawa oleh model tersebut.

Menurut GWM, ORA 5 HEV dibangunkan untuk generasi baharu pemandu bandar yang melihat kenderaan bukan sekadar sebagai alat pengangkutan, sebaliknya sebahagian daripada gaya hidup harian.
Dari segi reka bentuk, ORA 5 HEV menggunakan konsep “Born From Nature · Made for the City” yang menggabungkan garisan badan mengalir dengan bentuk crossover serta elemen reka bentuk kontemporari.
GWM menyifatkan pendekatan tersebut sebagai usaha untuk menghasilkan sebuah SUV yang mempunyai karakter tersendiri, namun pada masa sama kekal praktikal untuk kegunaan harian di kawasan bandar.

Reka bentuk ORA 5 HEV turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila model ini dinamakan sebagai pemenang 2025 Design of the Year di London Design Awards. GWM ORA 5 HEV menjadi kenderaan produksi pertama yang menerima anugerah tertinggi tersebut, dengan penilaian berdasarkan penampilannya, tetapi turut mengambil kira gabungan aspek estetika, fungsi dan pengalaman pengguna.
Di sebalik reka bentuk tersebut, ORA 5 HEV menggunakan teknologi Hi2 Intelligent Hybrid Technology baharu daripada GWM. Sistem ini menggabungkan enjin, transmisi dan bateri hybrid secara pintar bagi menghasilkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api.
Huruf “H” merujuk kepada Hybrid, “i” kepada intelligent, manakala angka “2” merujuk kepada dua manfaat utama sistem berkenaan, iaitu penggunaan bahan api rendah dan prestasi yang tinggi serta ia menunjukkan sistem pacuan 2 roda

ORA 5 HEV turut menggunakan enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi dua kelajuan DHT serta sistem hybrid dengan bateri berkapasiti 1.09 kWh. Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa maksimum 223 PS dan tork keseluruhan 476 Nm, membolehkan crossover tersebut memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 7.7 saat.
GWM turut memberikan penekanan terhadap kecekapan bahan api, dengan ORA 5 HEV mampu mencapai penggunaan petrol serendah 4.4 liter/100 km. Dengan angka tersebut, ORA 5 HEV mampu menawarkan jarak perjalanan melebihi 1,100 km bagi satu tangki bahan api, sekali gus mengurangkan keperluan untuk kerap berhenti mengisi minyak ketika digunakan untuk perjalanan jauh.
Keupayaan sistem hybrid itu juga dikaitkan dengan satu pencapaian di China apabila ORA 5 HEV mencatat penggunaan bahan api 3.74 liter/100 km dalam cabaran pemanduan dunia sebenar sejauh 3,004 km. GWM menyatakan pencapaian tersebut telah membawa kepada gelaran GUINNESS WORLD RECORDS™ bagi penggunaan bahan api terendah oleh sebuah SUV produksi standard standard di China.

Dari segi saiz, ORA 5 HEV mempunyai ukuran panjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm dan tinggi 1,641 mm, dengan jarak roda berukuran 2,720 mm. Dengan dimensi tersebut, GWM meletakkan model ini dalam kategori compact urban crossover SUV yang menggabungkan keperluan praktikaliti bandar dengan reka bentuk yang lebih bergaya.
Selain sistem hybrid, ORA 5 HEV turut dilengkapi fungsi kawalan melalui aplikasi, selari dengan penekanan GWM terhadap konsep mobiliti yang lebih berhubung. ORA 5 HEV ini disasarkan kepada pengguna yang mahukan sebuah crossover kompak dengan karakter reka bentuk tersendiri, prestasi yang tinggi serta kecekapan bahan api untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.











