
GWM ORA CAT BAHARU BAKAL HADIR SEBAGAI SUV – JANA 201HP, JARAK GERAK MASIH TANDA TANYA
Jenama kenderaan elektrik Ora di bawah Great Wall Motor (GWM) kembali mencuri perhatian apabila model terbaharu mereka, Ora Cat, tersenarai dalam dokumen rasmi Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat (MIIT) China.
Ini menandakan pelancaran model pertama sejak 2022, sekali gus menghidupkan semula momentum jenama yang sebelum ini dilihat perlahan di pasaran.
Ora Cat mengekalkan identiti rekaan yang sudah sinonim dengan model popular Ora Funky Cat (atau Ora 03), namun kali ini tampil dalam bentuk SUV.
Difahamkan, model ini akan dipasarkan di China dengan nama Ora Cat, manakala bagi pasaran eksport ia berkemungkinan menggunakan nama Ora 5 atau Ora i5, selaras dengan strategi penjenamaan global GWM.

SUV baharu ini ditempatkan di antara hatchback Ora 03 dan fastback Ora 07, melengkapkan barisan produk elektrik Ora.
Dari segi rekaan luaran, ia menampilkan lampu hadapan berbentuk bulat, bampar ringkas, gril tertutup dengan kemasukan udara berbentuk trapezium, serta jalur lampu belakang yang bersambung penuh.
Turut disertakan ialah bumbung dengan rel, port pengecas di fender kanan, pilihan penderia LiDAR dan rim bersaiz 18-inci.
Bagi dimensi, Ora Cat berukuran 4,471mm panjang, 1,883mm lebar dan 1,641mm tinggi, dengan jarak roda 2,720mm. Angka ini meletakkannya sedikit lebih panjang berbanding Volkswagen Taos (Tharu). Berat keseluruhan pula antara 1,630 hingga 1,655kg bergantung pada spesifikasi.
Kuasa datang daripada motor elektrik tunggal jenis QT36TZ220001 yang dibangunkan oleh anak syarikat GWM, Hycet.
Motor ini mampu menghasilkan 150kW (201 hp), dipadankan dengan pek bateri LFP daripada SVOLT, walaupun kapasiti baterinya masih belum diumumkan. SUV elektrik ini mampu mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.
Selepas mencatat jualan hambar sekitar 14,781 unit dari Januari hingga Ogos 2025, Ora kini sedang merancang kebangkitan semula dengan pelancaran empat model baharu dalam tempoh terdekat.
Kehadiran Ora Cat sebagai SUV segmen baharu dijangka menjadi langkah penting untuk mengembalikan keyakinan pasaran terhadap jenama ini.
- BACA: TOYOTA GR HIDUPKAN SEMULA KOMPONEN AE86, KINI DENGAN SENTUHAN MODEN
- BACA: KENAPA KERETA SPORT & SUPERCAR GUNA “GAM UHU” UNTUK CASIS?
- BACA: MERCEDES-BENZ C 200 AMG LINE DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM292K
- BACA: MERCEDES-BENZ MALAYSIA LANCAR AMG CLE 53 4MATIC+ COUPÉ DAN CLA 45 S 4MATIC+ COUPÉ FINAL EDITION

