Motosikal

HANYA SATU NEGARA MASIH MENJUAL YAMAHA SR400 

Pengumuman menghentikan pengeluaran sebuah model oleh pengeluar sememangnya menyedihkan apatah lagi jika melibatkan model popular. 

Pengeluar motosikal Jepun, Yamaha menzahirkan berita sedih buat peminat motosikal retro apabila memperkenalkan Yamaha SR400 Final Edition pada 2021 sekaligus menandakan pengakhiran model itu. 

Bagi sebuah motosikal yang dihasilkan sejak 1978, pengeluaran Yamaha SR400 berjalan sehingga 2021 tanpa sebarang penambahbaikan mahupun naik taraf enjin dan reka bentuk sehinggakan model Final Edition masih lagi mengguna pakai ciri kickstart’. 

Bagaimanapun, Yamaha Thailand membuat kejutan apabila memperkenalkan SR400 versi terbaru bagi pasaran negara itu baru-baru ini. 

Menariknya, meskipun Yamaha tidak lagi memasarkan model itu di Jepun, SR400 yang dijual di Thailand ketika ini adalah model yang dieksport dari negara matahari terbit itu. 

Untuk rekod, Yamaha SR400 dikuasakan enjin satu silinder 399cc 2-valve SOHC dengan sistem penyejukan udara yang berupaya menjana 23.4hp dan 27.8Nm pada 3,000rpm. 

Seperti model terdahulu, SR400 ini juga datang dengan ciri konvensional antarnaya fork teleskopik dan penyerak hentak berkembar yang menawarkan jarak gerak 150mm di depan dan 105mm di belakang. Brek pula merangkumi cakera brek tunggal di depan dan brek dram di belakang serta dipadankan bersama rim 18-inci jenis ‘spoke’. 

Google ads
Back to top button