Buletin

HARGA KERETA DIJANGKA TERUS NAIK AKIBAT LONJAKAN KOS PENGELUARAN

Harga kenderaan dijangka meningkat secara beransur-ansur berdasarkan kepada lonjakan ketara dalam kos pengeluarannya, selain berakhirnya tempoh pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 30 Jun lalu.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang berkata industri automotif ketika ini berdepan dengan kenaikan harga komponen kereta.

Keadaan ini membuatkan prinsipal dan pengedar mungkin menggunakan model baharu dan versi dipertingkat untuk menaikkan harga kereta agar mereka dapat mengalihkan kos input lebih tinggi.

Pelanggan kini juga perlu menampung SST untuk kedua-dua model pemasangan tempatan (CKD) dan model import sepenuhnya (CBU).

“Tambahan lagi, reformasi duti eksais mungkin menambah harga kereta sebanyak lapan hingga 20 peratus pada 2023,” katanya dalam satu nota penyelidikannya. Walau bagaimanapun, pihaknya ambil maklum bahawa pihak pengurusan pengeluar kereta nasional gusar kerana mereka tiada ruang mencukupi untuk menaikkan harga kereta.

Proton Holdings Bhd (PROTON) sebelum ini menyatakan pihaknya masih bertahan untuk tidak menaikkan harga kenderaan walaupun berdepan dengan peningkatan ketara dalam kos pengeluaran. Secara dasarnya, PROTON berdepan dengan lonjakan kos pengeluaran daripada bahan mentah sehinggalah logistik. Ini memaksa PROTON untuk menampung kenaikan itu tanpa memberikan bebanan kepada pembeli.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 20 Jun lalu mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022. Namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Tengku Zafrul berkata, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik untuk memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Sementara itu, Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Hafriz Hezry, berkata perubahan dalam nilai pasaran terbuka (OMV) kenderaan boleh menyebabkan harga CKD meningkat lapan hingga 20 peratus. Definisi OMV baharu difahamkan merangkumi kos jualan seperti promosi dan pengiklanan, pemasaran, waranti dan komisen melebihi kos pembuatan sebelum ini.

“Pangkalan OMV yang lebih tinggi di mana duti eksais dikenakan. Oleh itu dijangka menyebabkan kenaikan duti eksais yang dikenakan. Ini adalah potensi risiko kepada kos duti sektor auto dan akhirnya jumlah jualan jika diteruskan.

“Namun kami percaya bahawa kerajaan harus mempertimbangkan mekanisme rebat untuk asas OMV tambahan yang datang daripada kos berkaitan jualan, yang kebanyakannya ditanggung pemain tempatan dan akhirnya memberikan nilai tambah kepada ekonomi domestik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Hafriz berkata, walau apapun, sebarang perubahan hanya perlu dilakukan secara beransur-ansur untuk membolehkan pemain industri dan pasaran menyesuaikan diri dengan perubahan. – Berita Harian

Google ads
Back to top button