VOLKSWAGEN DEDAHKAN ENJIN 1.5 TSI EVO2 TURBO, 150 KUASA KUDA
Semenjak dibebani dengan krisis Dieselgate, kumpulan Volkswagen telah berikrar untuk membetulkan imej mereka dengan memperkenalkan inisiatif kenderaan elektrik. Malah mereka memperkenalkan platform bari yang didedikasi untuk pembangunan EV yang diberi nama MEB dan platform yang lebih premium yang dikenali dengan nama PPE bagi Audi dan Porsche
Tapi ini tidak bermakna Volkswagen melupakan terus enjin pembakaran dalam kerana mereka baru sahaja memperkenalkan enjin baru yang diberi kod 1.5 TSI EVO2. Antara perubahan yang dibuat bagi memastikan enjin ini lebih bersih dan efisyen termasuklah pemasangan pemangkin asap terbaru dan juga penapis petrol khas bagi mengurangkan partikel asap
Enjin ini juga turut menerima ciri Active Cylinder Management yang membolehkan enjin hanya beroperasi daripada 4 silinder kepada 2 silinder sahaja jika kuasa enjin maksima tidak digunakan, malah Volkswagen mendakwa perubahan daripada 4 kepada 2 silinder adalah sangat lancar dan tidak dirasai oleh penumpang.
Bagi varian petrol sahaja, ia akan menjana sehingga 150 kuasa kuda dan bagi varian plug in hybrid ia boleh menghasilkan sehingga 272 kuasa kuda. Selain menggunakan turbo dengan geometri boleh ubah, enjin ini juga menggunakan sistem suntikan petrol 350 bar, silinder yang dirawat dengan plasma bagi mengurangkan geseran dan piston dengan saluran penyejukan khas
Campuran udara dan petrol akan dibakar dengan menggunakan kitaran enjin Miller (sama seperti Atkinson tapi menggunakan turbo) dimana lejang kuasa melebihi lejang mampatan bagi memastikan enjin menjadi lebih efisyen
Volkswagen juga mengaskan enjin TSI EVO2 ini bukan sahaja direka untuk menggunakan petrol, tapi juga menggunakan bahan api bio yang boleh diperbaharui. Ini adalah sebahagian daripada solusi Volkswagen bagi pasaran yang masih belum bersedia dengan fasiliti pengecasan elektrik bagi kenderaan elektrik