
‘IKON PERMOTORAN’ DISAMAN TIADA LESEN MEMANDU
Seorang pempengaruh terkenal disaman kerana didapati tidak mempunyai lesen memandu ketika ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Raja Laut, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, lelaki berusia 20-an berkenaan ditahan ketika sedang memandu kenderaan jenis Audi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan polis mengeluarkan notis saman terhadap individu berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati lelaki terbabit tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. Justeru, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan satu saman atas dua kesalahan berkenaan,” katanya.
Foto yang tular di media sosial itu pantas menerima kecaman netizen apabila individu yang disaman itu didakwa Haqiem Stopa. Dia mula mendapat perhatian netizen kerana pernah diberi gelaran Ikon Permotoran oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Bulan lalu, namanya kembali hangat kerana diundang oleh sebuah sekolah menengah untuk memberi ceramah. Selain dikatakan tidak layak, Hakiem Stopa yang datang dengan berpakaian tidak formal bersama sebatang tongkat menjadi cemuhan ramai. – Harian Metro


