
HARGA MINYAK BOLEH CECAH RM552 SATU TONG JIKA SELAT HORMUZ DITUTUP
Harga minyak boleh melonjak sehingga AS$130 (RM552) setong sekiranya Iran memutuskan untuk menutup Selat Hormuz, lapor Sputnik/RIA Novosti yang meetik akhbar Turkiye Hurriyet pada Isnin.
Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Esmail Kowsari berkata pada Sabtu bahawa Tehran sedang mempertimbangkan untuk menutup selat itu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel.
Selat itu mengendalikan 20 peratus penghantaran minyak global dan 80 peratus daripada perdagangan minyak serta gas asli cecair (LNG) bagi Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Akhbar itu meramalkan konflik antara Israel dan Iran akan berterusan, sambil menambah bahawa kesan peperangan terhadap ekonomi bergantung kepada tempoh dan tahap peningkatan serangan. Konflik yang berpanjangan boleh melumpuhkan ekonomi, tetapi jika ia berakhir dalam tempoh 14 hari seperti yang dijangka, kesannya dijangka terhad.
Selat Hormuz menghubungkan Teluk Parsi dengan Teluk Oman. Kapal kemudian akan memasuki Laut Arab dan Lautan Hindi. Pantai utara selat itu merupakan wilayah Iran, manakala bahagian selat di sebelah selatan adalah milik Oman dan UAE. Selat berkenaan mengendalikan 10 hingga 20 peratus minyak global serta kira-kira 20 peratus penghantaran LNG.
Pada malam 13 Jun, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan operasi berskala besar dinamakan Rising Lion, melibatkan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan dan kemudahan program nuklear Iran. Tentera Udara Israel melancarkan beberapa gelombang serangan di pelbagai lokasi di Iran, termasuk Tehran, yang menyebabkan kematian beberapa pegawai kanan tentera Iran termasuk Ketua Turus Angkatan Bersenjata Iran dan panglima tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta beberapa saintis nuklear.
Beberapa kemudahan nuklear termasuk Natanz dan Fordow, serta kedudukan tentera Iran di seluruh negara turut menjadi sasaran.
Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei dalam perutusannya kepada rakyat menyifatkan serangan ke atas Iran sebagai jenayah dan memberi amaran bahawa Israel akan berdepan “nasib yang pahit dan dahsyat.”
IRGC memaklumkan bahawa Republik Islam itu telah melancarkan Operation True Promise III ke atas sasaran ketenteraan di Israel sebagai tindak balas terhadap serangan berkenaan. – Harian Metro