Artikel Pilihan

SAKSIKAN SENDIRI UJIAN KALIBRASI BEG UDARA T.50 YANG BERNILAI RM13 JUTA – SAKIT JE HATI TENGOK

Ujian kalibrasi beg udara ini merupakan sebahagian dari proses wajib dalam penghasilan sebuah model baharu (adik-adik tiktok kena ambil perhatian okey, bukan mudah nak buat kereta ni). Malah ujian ini sebenarnya boleh tahan ganas kalau dibandingkan dengan ujian ketahanan yang sudah biasa kita tengok.

Jadi pihak Gordon Murray Automotive telah merakam Vlog menunjukkan macam mana ujian ini dijalankan terhadap produk terbaru mereka, hypercar T.50 V12 yang bernilai lebih RM13 juta (mengikut kadar tukaran semasa).

Ujian ini dijalankan di Automotive Testing Paperburg, Jerman. Ujian ini dilakukan untuk memastikan beg udara tidak diaktifkan secara tidak sengaja semasa pemanduan.

T.50 dalam video dipandu dalam pelbagai keadaan muka jalan buatan termasuklah melalui permukaan yang tidak rata, melanggar timbunan batu kerikil yang tinggi, memecut melintas landasan kereta api dan melancar ke udara seperti sebuah basikal BMX.

Kerosakan memang berlaku terutama ketika ujian pelanggaran sudut tajam yang ditinggikan sebagai mensimulasi bahagian tepi bangunan dan kerosakan yang berlaku hanyalah tie rod dan rim yang sedikit bengkok. Boleh tahan kekuatan hypercar ni.

Paling best sekali tentulah simulasi perlanggaran ‘babi hutan’ seberat 80 kilogram pada kelajuan 70 km/j. Hasilnya ialah kerosakan yang sangat minima pada T.50 ni. Terer betul! Jangan bimbang, tiada babi hutan ataupun babi lain yang terbunuh dalam video ini.

T.50 ialah hasil rekaan pereka tersohor, Gordon Murray yang mendapat inspirasi dari supercar ikonik McLaren F1 yang juga merupakan hasil ciptaan beliau sendiri. Jentera 3-tempat duduk ini dikuasakan enjin rekaan Cosworth V12 4.0L NA yang menghasilkan 654 bhp kuasa  dan disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear manual 6-kelajuan. Manual tuan-tuan. Korang yang ambik lesen auto tu boleh tengok je lah.

Paling penting sekali berat keseluruhan kereta ini ialah sekitar 986 kilogram sahaja. Gordon Murray percaya berat adalah sangat-sangat penting dalam pembanguan sebuah jentera permotoran yang mutakhir. Ayat mudah ialah kereta itu mesti sangat ringan.

Tak kisahlah betapa tercalarnya hati kita melihat hypercar ini didera semasa ujian beg udara ini, yang penting hypercar analog bakal menemui kita dalam sedikit masa sahaja lagi. Kuatkan semangat dan mari kita saksikan ujian yang menyakitkan hati dan jiwa ni.

Kredit Carthrottle.com

Google ads
Back to top button