Buletin

HONDA ACCORD SE 2025 UNTUK AS, 1.5 VTEC TURBO, 192 HP/260NM, RM130 RIBU

Honda Accord generasi ke-11 tidak dibawa masuk ke pasaran tempatan dan tidak dipasarkan secara meluas di negara Asean seperti sebelum ini.

Harganya juga boleh tahan, Accord 2.0 liter RS e:HEV di Indonesia dijual pada harga 959,900,000 rupiah (RM266,518).

Persekitaran hari ini juga sudah berubah di mana sedan elektrik seperti BYD Seal lebih mudah ditemui berbanding sedan segmen D yang popular sebelum ini.

Diperkenal pada November 2022 kini giliran model tahun (MY) 2025 mengambil giliran di Amerika Syarikat.

Honda memperkemaskan tawaran dengan menambah lebih banyak ciri-ciri standard. Turut mengambil tempat Accord SE baharu dengan riasan luaran hitam dan pelbagai kelengkapan asas.

Accord 2025 ditawarkan dalam enam varian berikut:

  • LX, SE – 1.5 liter VTEC Turbo
  • Sport, EX-L, Sport-L dan Touring – 2.0 liter hibrid i-MMD

Di antara perubahan yang dibuat ialah semua varian dilengkapi corong penyaman udara belakang dan sepasang port USB-C juga di belakang.

Kesemua varian hibrid dilengkapi kerusi depan dengan pemanas dan pengecas telefon tanpa wayar Qi 15W. Varian teratas Accord Touring mempunyai tambahan stereng dengan pemanas.

Dari segi kuasa, enjin 2.0 liter menghasilkan 146 kuasa kuda (hp) pada 6,100 rpm dan tork 182Nm pada 4,500 rpm.

Motor elektrik pula memiliki kuasa 181 hp dari 5,000 sehingga 8,000 rpm dan 335Nm dari 0 sehingga 2,000 rpm. Keseluruhan sistem menghasilkan 204 hp.

Accord SE

Varian baharu ini diletakkan di antara Accord LX dan Accord Sport hibrid. Accord SE diserlahkan melalui warna hitam pada rim aloi 17 inci, bingkai cermin, perumah cermin sisi, antena sirip yu dan tiang B warna hitam kilat.

Bahagian dalam lebih lengkap berbanding LX sebagai contoh kerusi depan dengan fungsi pemanas, bumbung kaca satu sentuhan dan kawalan suhu dua zon.

Turut dilengkapi kerusi pemandu dengan sepuluh larasan dan kawalan belakang dan sistem audio lapan pembesar suara.

Kedua-dua Accord SE dan LX dilengkapi skrin Antara Muka Maklumat Pemandu 10.2 inci dan skrin sentuh berwarna tujuh inci.

Accord SE dan LX juga berkongsi enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 192 hp pada 6,000 rpm dan 260Nm dari 1,700 sehingga 5,000 rpm. Enjin dipadan bersama kotak gear CVT.

Mod pemanduan

Honda menyediakan empat mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport (hibrid sahaja) dengan tetapan awal untuk tindak balas rangkaian kuasa, tahap bantuan stereng, grafik meter dan tetapan kawalan suai pandu.

Selain mod Sport, Accord hibrid lebih istimewa dengan mod Individual untuk pemandu membuat tetapan sendiri.

Honda Sensing

Kesemua Accord 2025 dilengkapi teknologi bantuan pemanduan Honda Sensing yang merangkumi Sistem Pembrekan Pencegahan Pelanggaran dan Kawalan Suai Pandu dengan Ikutan Kelajuan Rendah.

Lagi teknologi seperti Amaran Penukaran Lorong, Sistem Bantuan Pengekalan Lorong, Bantuan Kesesakan Jalan Raya, Sistem Pengesanan Isyarat Jalan Raya, Amaran Pelanggaran Depan dan Pencegahan Tersasar Jalan.

Sistem Maklumat Titik Buta dengan Pengawasan Lintasan Trafik dilengkapi pada Accord SE dan ke atas.

Harga

Honda SE ditawarkan pada harga AS$30,560 (RM130,240) manakala varian hibrid dari AS$34,750 (RM148,061) sehingga AS$40,395 (RM172,112).

Google ads
Back to top button