Motosikal

HONDA CB400 SUPER FOUR E-CLUTCH CONCEPT: PROJEK YANG MUSTAHIL BERTUKAR REALITI

“Ini Honda CB400 SUPER FOUR yang terbaik pernah dihasilkan,” demikian kenyataan dikeluarkan ketua projek Honda CB400 Super Four E-Clutch Concept, Asato Kato, sebaik motosikal itu didedahkan kepada umum di Osaka Motorcycle Show 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Kembalinya CB400 SUPER FOUR sudah pun dijangka setelah Honda memperkenalkan CB500 SUPER FOUR di CIMA 2025 diikuti dengan CB1000F di Eropah sebulan kemudian. 

Bagaimanapun berbeza dengan kedua-dua model itu yang merupakan model produksi, CB400 SUPER FOUR E-Clutch yang didedahkan di Osaka itu masih dalam peringkat konsep sahaja buat masa ini. 

Menurut pengurus projek, Asato Kato, antara cabaran utama adalah memastikan model konsep itu masih mengekalkan identiti CB sebenar meskipun perlu menghasilkan model yang mengikut peredaran semasa. 

“Motosikal moden memiliki kerangka yang rumit jadi sukar untuk dipadankan dengan tangki CB yang ikonik. 

“Namun, CB400 SUPER FOUR mempunyai sejarah dan gaya tersendiri dan model baharu ini perlu menonjolkan elemen yang sama. 

“Bagi saya, penting untuk motosikal ini datang dengan tangki besi meskipun agak sukar untuk melakukannya,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Kato memaklumkan bahawa meskipun keutamaan adalah mengekalkan tradisi CB400 SUPER FOUR namun model konsep ini jauh lebih baik dari generasi terdahulu. 

“Bahagian badan jentera adalah jauh lebih ringan dan kawalan jentera juga jauh lebih baik,” tambahnya. 

Kato juga yakin CB400 Super Four ini adalah yang terbaik pernah diujinya. 

Dalam pada itu, antara perkembangan terbesar yang diperkenalkan pada CB400 SUPER FOUR Concept ini adalah penggunaan sistem E-Clutch. Sistem ini secara tak langsung memberi peluang kepada penunggang baharu dan berpengalaman untuk menikmati pengalaman menunggang yang lebih baik.

Untuk rekod, E-Clutch membenarkan penunggang untuk menukar gear tanpa perlu menarik klac namun klac masih tersedia bagi mereka yang mahu mengoperasikan jentera secara konvensional.

GALERI: HONDA CB400 SUPER FOUR E-CLUTCH CONCEPT

Google ads
Back to top button