
TRIUMPH DAYTONA 660 2026 DIUMUMKAN – DENGAN QUICKSHIFTER, 94HP
Triumph Motorcycle mengumumkan Triumph Daytona 660 telah dinaik taraf bagi tahun 2026.
Motosikal sportsbike tiga silinder dari Hinckley itu menerima tiga naik taraf penting bermula dengan bahagian suspensi. Walaupun Daytona 660 mengekalkan fork depan Showa SFF-BP 41mm namun fork tersebut kini menawarkan pelarasan compression dan rebound damping secara standard.

Menurut Triumph, naik taraf itu membenarkan pengguna untuk membuat tetapan sendiri agar lebih praktikal untuk kegunaan harian mahupun di litar. Sementara itu, penyerap hentak belakang kekal dengan Showa dengan fungsi pelarasan pra-beban.
Naik taraf kedua terbesar adalah pertambahan Triumph Shift Assist (quickshifter) yang kini didatangkan secara standard. Pada model sebelumnya, sistem ini ditawarkan secara opsyen tambahan.

Seterusnya, Daytona 660 keluaran terbaru ini dipadankan dengan tayar Metzeler Sportec M9 RR menggantikan tayar Michelin Power 6. Untuk rekod, Sportec M9 RR menawarkan prestasi terbaik bukan hanya terhad di jalan raya malah di litar lumba berbanding Michelin yang merupakan tayar jalan raya.
Daytona 660 terbaru ini juga hadir dengan dua warna baharu, Aluminium Silver dan Cosmic Yellow.



Dalam pada itu, seperti model Trident 660 baharu yang diperkenalkan di pasaran global sekitar Januari lalu, Daytona 660 ini juga menerima enjin tiga silinder 660cc DOHC yang telah dinaik taraf bagi tahun 2026.
Hasilnya, Daytona 660 kini menawarkan 94hp pada 11,250rpm dan 69NM pada 8,250rpm.
GALERI: TRIUMPH DAYTONA 660 2026















