HONDA CITY 2020-APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI
Sebut saja nama Honda City rasanya semua orang kenal. Generasi pertama dan kedua membuat kemunculan sebagai kereta kompak yang hanya dijual di Jepun sebelum generasi ke tiga dihasilkan khusus untuk pasaran negara membangun dengan menggunakan cesi Civic EF yang diubahsuai.
Generasi ke 7 dengan kod GN1 dilancarkan di Thailand pada 25 November 2019 dengan pelancaranya disiarkan secara langsung di media sosial. Kalau tak kerana krisis pandemik COVID-19 mungkin generasi terbaru ini sudahpun dilancarkan di Malaysia. Kepada peminat Honda, kami paparkan maklumat pantas berkenaan Honda City ini dalam bentuk poin ringkas.
1. City akan bersaing dalam segmen B bersama-sama dengan Vios, Almera, Mazda 2 dan juga Persona. Dari segi saiz City memiliki panjang 4553mm, lebar 1748mm dan tinggi 1467mm. Daari segi saiz, City merupakan model yang paling panjang, lebar dan rendah.
Namun dalam aspek jarak antara roda, City hanya menawarkan 2589mm sahaja berbanding dengan Almera baru pada 2620mm. Jadi pada hemat kami, ruang dalam Almera 2020 akan lebih luas berbanding dengan City.
2. Antara kekuatan Honda City ialah dari aspek penawaran enjin dan transmisi. Generasi ke empat ditawarkan dalam varian enjin i-DSI dan juga enjin L15A VTEC dengan kuasa 110 kuasa kuda. Ia digantikan dengan unit L15A7 yang digunakan pada generasi ke 5 dan juga 6.
Generasi ke 7 menerima enjin baru dengan saiz enjin dikecilkan dari 1500cc menjadi 1000cc 3 silinder dengan pendesak turbo yang dikenali dengan kod P10A2. Ia menghasilkan kuasa anggaran 120 kuasa kuda dan tork maksima 173 Nm tork antara 2000-4500 RPM, sama dengan enjin 1800cc Civic FD yang lama.
Enjin ini akan digandingkan dengan transmisi CVT Earth Dream Technology yang dihasilkan sendiri oleh Honda. Ratio CVT yang ditawarkan berada diantara 2.544 ke 0.402. Penggunaan petrol pula adalah sekitar 23.8km per liter, cukup jimat bagi sebuah sedan kompak dengan berat 1165kg.
3. Dalam aspek cesi, seperti model sebelum ini ia hanya ditawarkan dengan brek cakera pada tayar depan sahaja dan tayar belakang masih menggunakan brek dram. Suspensi depan menggunakan Topang McPherson manakala suspensi belakang menggunakan torsion beam dengan bar penstabil, sama seperti model generasi ke 6.
4. Antara sistem keselamatan yang ditawarkan ialah sistem brek ABS, EBD, Vehicle Stability Assist, 6 beg udara keselamatan, 2 poin ISOFIX untuk pemasangan kerusi bayi, dan juga kamera undur. Sayangnya tiada ciri Honda Sensing yang ditawarkan pada City, berbeza dengan Almera yang ditawarkan dengan ciri Nissan Intelligent Mobility.
Namun dalam ujian Asean NCAP yang dijalankan, Honda City berjaya mendapat markah 86.54% seterusnya layak dianugerahkan dengan 5 Star Asean NCAP.
5. Untuk pasaran Thailand, varian tertinggi dikenali dengan nama City yang dilengkapi dengan lampu depan LED, lampu DRL LED, lampu belakang LED, Lampu kabus depan, rekaan bampar depan dan belakang yang eksklusif pada varian RS serta rim bersaiz 16 inci
Varian biasa menggunakan kombinasi lampu projektor halogen dan reflektor. Namun setakat ini kita masih menunggu adakah varian RS akan diperkenalkan atau City hanya diperkenalkan dengan varian V.
6. Papan pemuka – Honda City mengambil inspirasi Honda Jazz yang baru diperkenalkan. Butang penyaman udara dengan suis rotari menggantikan suis sesentuh penyaman udara pada model lama, yang cantik untuk dilihat namun susah untuk digunakan ketika memandu.
Paparan meter pula menggunakan rekaan 2 bulatan yang memaparkan kelajuan, RPM dan juga maklumat digital pada skrin tengah. Berbeza dengan rekaan lama yang memiliki 3 meter dimana bulatan ketiga memaparkan maklumat tambahan. Secara peribadi penulis masih sukakan rekaan papan pemuka yang lama berbanding dengan model baru.
7. Bagi varian RS, papan pemuka akan dihiasi dengan balutan kulit dan kusyen akan dibalut dengan gabungan kulit serta suede. Jika diperhatikan, model Thailand tidak menawarkan corong penyaman udara pada bahagian belakang seperti model lama yang ditawarkan untuk Malaysia.
Namun penulis percaya model Malaysia akan mendapat corong penyaman udara, sedikit sebanyak membantu menyejukkan ruang belakang dengan pantas. Poin untuk mengecas telefon pintar masih disediakan dibawah suis penyaman udara, di tempat duduk belakang dan juga perehat tangan di bahagian depan dan juga belakang
8. Pengendalian – berdasarkan pengamatan penulis, model terbaru ini juga menawarkan ciri penukaran gear pada roda stering, butang ECO diletakkan pada ruang gear, pilihan L pada gear CVT tidak ditawarkan dan sistem pemanduan autocruise pasif disediakan untuk memudahkan pemanduan di lebuh raya.
Walaupun ramai yang mengutuk City kerana menggunakan brek drum pada roda belakang, prestasi membrek Honda City dengan Vios tidak jauh berbeza. Malah model lama City telah menggunakan bar penstabil pada bahagian belakang menjadikan pemanduan City di jalan berselekoh agak meyakinkan.
Vios terbaru juga menggunakan bar anti oleng pada bahagian belakang bagi memberikan lebih kestabilan ketika di selekoh. Namun Vios hanya memiliki kelajuan maksima sekitar 170km/j sahaja berbanding dengan City baru yang mampu memecut selaju 200km/j (model lama 190km/j). Kami mengalu-alukan komen “laju-laju nak ke kubur ke”.
9. Selepas melalui proses facelift, sistem audio City sebenarnya melalui proses penurunan kualiti mungkin disebabkan faktor kos. Model terbaru City ditawarkan dengan skrin sesentuh 8 inci, lengkap dengan sistem navigasi Google Map, Android Auto, Apple Car Play, Honda Connect dan juga sambungan tanpa wayar Bluetooth.
10. Anggaran harga bagi model terbaru pada pendapat kami dijangka meningkat sedikit, namun Honda pasti cuba mengekang harga City supaya tidak melepasi tanda harga RM100 ribu. Segmen B amat sensitif dengan harga, sebarang harga yang melampau akan menyebabkan pelanggan lari ke model pesaing.
Harga permulaan bagi varian terendah mungkin ditawarkan dengan harga permulaan sekitar RM80 ribu dan ke atas, tapi anda kena ingat varian ini mungkin agak kosong dan model tempatan dengan harga RM30ribu lebih rendah akan nampak lebih bernilai dengan wang yang dibelanjakan.
Sekiranya anda malas nak mencuba enjin turbo yang baru, masih merasakan rekaan model lama masih lagi relevan, maka anda boleh cuba intai di SINI kerana Honda Malaysia menawrkan diskaun setinggi RM 8000 bagi model lama.