Buletin

ALIRAN TRAFIK DI LEBUH RAYA PLUS DIJANGKA NAIK 15 PERATUS MULAI JUMAAT – AHAD INI

Berikutan pengumuman Perdana Menteri yang membenarkan rakyat Malaysia untuk melakukan perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun 2020 (Rabu) depan, pengendali lebuh raya  PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menjangkakan aliran trafik akan melonjak sehingga 15 peratus. 

Lonjakan itu dijangka berlaku bermula Jumaat hingga Ahad minggu ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada Rabu.   

Peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya sememangnya sudah boleh dijangka kerana orang ramai mahu mengambil peluang bulan Syawal yang masih berbaki untuk pulamng ke kampung halaman masing-masing. 

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, PLUS menyaksikan penurunan trafik yang mendadak di semua rangkaian lebuh raya kendaliannya. Namun, jumlah kenderaan menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak Hari Raya Aidfilfitri hingga kini.

Menurut PLUS, dianggarkan sebanyak 1 juta kenderaan dicatat menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS pada hari biasa dan penurunan sebanyak 20 peratus pada hujung minggu.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan digantikan dengan PKPP bermula esok sehingga 31 Ogos depan. 

PKPP memberi beberapa kelonggaran tambahan seperti kebenaran rentas negeri. Justeru, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail mengumumkan bahawa kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya kendalian PLUS akan dibuka kepada pengguna.

Sudah pasti, pembukaan semua kemudahan di R&R berkenaan dibuat bersama pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan penjarakan sosial terus dipatuhi.

“Semua gerai R&R termasuk tempat makan dibuka mulai 15 Jun ini. PLUS juga akan menjalankan kerja-kerja pembersihan menyeluruh di semua R&R sebagai langkah tambahan bagi kerja pembersihan berjadual, antara 12 hingga 14 Jun ini,” katanya.

Harap maklum bahawa transaksi langsung di lorong tambah nilai kad Touch ‘n Go tidak disediakan bagi mengelak penularan COVID-19.

“Kami juga sedang memuktamadkan pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol sistem tertutup di semua lebuh raya kendalian PLUS demi keselesaan pelanggan pada masa akan datang. Pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi. 

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya membuat urusan tambah nilai di lebih 11,000 pusat disediakan sebelum menggunakan lebuh raya,” jelas Azman. – Berita Harian 

Tags
Google ads
Back to top button