Buletin

HONDA CIVIC TYPE R PIKAP – INI BUKAN CUBAAN, INI BETUL-BETUL!

Syarikat kereta di United Kingdom nampaknya lebih bebas dalam bereksperimen dan berkaya dengan produk mereka. Projek-projek yang biasanya dibuat oleh penala bebas dilakukan oleh mereka sendiri.

Beberapa tahun dulu Nissan UK pernah mengeluarkan Juke dengan enjin GT-R. Memang tidak pernah dibuat dek orang.

Ini satu lagi projek gila. Honda UK telah mempamerkan sebuah model unik pada hari ujian SMMT (Society of Motor Manufacturers and Traders) yang berlangsung kelmarin.

Model yang dimaksudkan ialah Honda Civic Type R Pickup Truck Concept. Ini bukan April Fool sebab April pun dah lepas, ini betul-betul punya projek.

Kereta ini dibina oleh pasukan pakar dari Jabatan Kejuruteraan Produk di Kilang Pembuatan Honda (HUM) di Swindon dengan kod nama Project P.

Projek ini dibina dari Type R standard bagi menghasilkan di antara pikap paling laju di UK. Projek ini bermula dari model produksi di kilang dengan bahagian kargo bermula dari tiang B hingga ke belakang.

Dari sisi, jelas kelihatan bahu kereta yang bertingkat dari model asal untuk mejadikannya sebuah pikap yang benar-benar ada fungsi. Satu yang menarik apabila spoiler tinggi Type R dikekalkan di atas pintu kargo dan ia boleh dibuka ke atas seperti Civic Sedan.

Seperti model asal, Type R pikap ini menggunakan warna Rallye Red dan mengekalkan spesifikasi mekanikal iaitu enjin, transmisi dan suspensi. 

Honda menjangkakan pikap ini mampu memecut dari kosong sehingga 99.7 km/j di bawah enam saat dengan kelajuan maksimum lebih dari 265 km/j.

Turut kekal pada pikap ini ialah mod pemanduan Comfort, Sport dan +R untuk pemanduan yang selesa di litar dan juga litar lumba.

Memandangkan Honda Civic Type R adalah pemegang rekod kereta FF terpantas di Nurburgring, Honda turut mempertimbangkan untuk membawa pikap ini ke sana kalau-kalau ia boleh mencipta rekod sebagai pikap FF terpantas!

Padu betul.

BACA: BUAT PERTAMA KALI, UK PERKENALKAN HONDA CIVIC SEDAN (DAN ENJIN 1.0 TURBO)

BACA: RM90K UNTUK HONDA CIVIC EK COUPE MILEAGE 16K? MAHAL KE MURAH?

Google ads
Back to top button