Buletin

HONDA CR-V CATAT TEMPAHAN LUAR BIASA – 1.4K UNIT DALAM MASA 7 HARI!

Honda CR-V baharu yang dilancarkan pada 12 Julai lalu mencatat prestasi luar biasa apabila ia ditempah sebanyak 1,400 unit hanya dalam masa tujuh hari. Jumlah tersebut melebihi apa yang disasarkan oleh Honda Malaysia iaitu sebanyak 700 unit sebulan.

Honda CR-V generasi kelima ditawarkan dalam empat varian dan berdasarkan jumlah tempahan, model dengan spesifikasi Honda Sensing iaitu 1.5L Turbocharged Premium 2WD paling popular. Sebanyak 40 peratus tempahan diterima untuk model itu sahaja yang kemudiannya disusuli oleh 1.5L Turbocharged 2WD (31 peratus), 2.0L i-VTEC 2WD (20 peratus) dan akhir sekali ialah 1.5L Turbocharged 4WD (sembilan peratus).

Nisbah tersebut juga menunjukkan rakyat Malaysia sudah menerima teknologi enjin turbo selari dengan penerimaan Honda Civic.

Warna paling disukai ialah Lunar Silver Metallic iaitu 30 peratus yang disusuli rapat oleh warna baharu White Orchid Pearl sebanyak 27 peratus tempahan.

Pada Januari lalu, Honda Malaysia telah melakukan kelainan apabila buat pertama kalinya membuat pelancaran serentak BR-V di Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak. Kali ini, pelancaran serupa juga telah dibuat dan nampaknya cara itu mendatangkan hasil apabila ia membuka jalan untuk lebih penerimaan di pasaran Timur Malaysia.

Model CR-V paling banyak ditempah di Sarawak dan Sabah ialah 1.5L Turbocharged Premium 2WD iaitu 38 peratus. Jualan Honda di kedua negeri pula ialah sebanyak 3,500 unit atau 6.6 peratus dari keseluruhan jualan untuk enam bulan pertama 2017. Jumlah itu melonjak sebanyak 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dengan tempahan memberangsangkan ini, Honda Malaysia menjangka kesemua belian dapat diserahkan sebelum Oktober depan dengan tempoh penghantaran memakan masa di antara satu hingga dua bulan.

Pakej yang ditawarkan Honda melalui CR-V ini sangat menarik terutama sekali dengan teknologi bantuan pemanduan Honda Sensing dengan varian paling asas dijual pada harga permulaan RM142,400.

Lagi bacaan menarik tentang Honda CR-V GEN. 5:

GALERI FOTO HONDA CR-V 2017

HONDA CR-V GENERASI KE-5 DILANCARKAN – 4 VARIAN, BERMULA RM142,400

Google ads
Back to top button