Buletin

HONDA CR-V GENERASI KE-5 DILANCARKAN – 4 VARIAN, BERMULA RM142,400

Honda Malaysia hari ini menetapkan satu lagi penanda aras baru untuk segmen SUV menerusi pelancaran rasmi CR-V serba baharu. 

CR-V generasi ke-5 itu menawarkan rangkaian ciri baharu yang komprehensif dari segi luaran, dalaman, rangkaian kuasa dan teknologi keselamatan tercanggih.

BACA: HONDA CR-V DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

Sejak melakukan debut global pada tahun 1995, setiap generasi CR-V menyerlahkan konsep mobiliti yang bebas, boleh dipercayai serta selesa secara konsisten. Sehingga kini, lebih 8.7 juta unit telah terjual di seluruh dunia.

Di Malaysia, CR-V mencatat sejarah apabila menjadi kenderaan pertama yang dikeluarkan daripada kilang Honda Malaysia di Melaka pada tahun 2003. Dengan gayaan inovatif dan nilai utiliti yang tinggi, CR-V menarik minat ramai pengguna di Malaysia dengan 68,000 unit berjaya dijual di seluruh negara.

Jualan  CR-V Generasi ke-4 yang dilancarkan pada tahun 2013 adalah yang paling tinggi dengan jualan  sebanyak 30,000 unit sehingga Jun 2017. Populariti CR-V menjadikannya sebagai SUV paling laris dalam segmennya.

4 varian dan harga

Pertama kalinya dalam model CR-V, pengguna akan diberi tiga pilihan varian turbo:

  • 1.5L Turbocharged Premium 2WD – RM167,700
  • 1.5L Turbocharged 2WD – RM161,600
  • 1.5L Turbocharged 4WD – RM155,700
  • 2.0L 2WD – RM142,400

Satu lagi pilihan ialah enjin aspirasi biasa (N/A)  2.0L i-VTEC (2WD). Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT yang dibangunkan di bawah Teknologi Earth Dreams Honda untuk memberikan keseimbangan di antara prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api. Paddle shift ditawarkan pada semua varian. Manakala sistem 4WD telah ditambah baik untuk menawarkan pengendalian yang lebih lincah, ringan dan linear.

Untuk menetapkan penanda aras yang lebih tinggi dan melangkaui ekspektasi pelanggan, Honda Malaysia telah mengalihkan fokus kepada teknologi termaju yang dimulakan dengan pengenalan model 1.5L VTEC Turbocharged Civic dan Jazz Sport Hybrid i-DCD baharu.

CR-V kini dilengkapi tiga teknologi utama iaitu enjin 1.5L VTEC Turbocharged, Honda SENSING dan ciri-ciri seperti pintu belakang kuasa yang boleh diprogramkan.

“Kami bangga untuk menyatakan bahawa Malaysia menjadi negara pertama di ASEAN yang memperkenalkan Honda SENSING ke dalam CR-V. Honda Malaysia mensasarkan untuk menjual 700 unit CR-V sebulan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi.

Penampilan luaran & ruang kabin yang versatil 

CR-V menerima perubahan ketara pada bahagian luaran. Sekali gus membuatkan penampilannya lebih garang. Jarak kelegaan tanah kini setinggi 198 mm (2WD) / 208 mm (4WD) berbanding CR-V Generasi ke-4 dengan jarak 170 mm.

Penampilannya disempurnakan lagi dengan lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu belakang dan lampu brek LED, spoiler belakang, lampu kabus hadapan LED dan rim aloi dua tona. Pakej LED sepenuhnya ini menawarkan iluminasi lebih baik, selain gayaan yang moden dan premium.

Mengekalkan prinsip konsep reka bentuk “Man Maximum, Machine Minimum”, CR-V memaksimumkan ruang kabin untuk penumpang dan barangan. Penumpang boleh duduk di dalam CR-V dengan selesa kerana ruang kaki kini 90 mm lebih luas.

Konfigurasi tempat duduk belakang yang fleksibel juga memberi kemudahan kepada pemilik untuk mengangkut pelbagai saiz barangan. Terutama apabila ia dilipat rata untuk memberikan ruang kargo sehingga 1,084 liter. Honda telah membangunkan ruang kargo untuk digunakan sepenuhnya dan ia kini 250 mm lebih luas berbanding model terdahulu.

Ruang kargo yang luas itu disempurnakan lagi dengan pintu belakang kuasa yang boleh diprogramkan. Ia membolehkan pemilik untuk mengawal ketinggian dan jarak bukaan pintu belakang dengan mudah. Hanya perlu tekan satu butang untuk memprogramkan ketinggiannya. Ciri premium itu ditawarkan buat pertama kali oleh Honda Malaysia.

Dari segi ruang kabin, CR-V telah direka dengan kombinasi gayaan yang dinamik dan moden.  Kemasan pada keseluruhan kabin nyata membuatkan CR-V sebagai sebuah SUV yang harus dimiliki.

Dengan paparan audio bersaiz 7” yang sedia untuk digunakan bersama Apple CarPlayTM dan Android AutoTM, aspek ketersambungan dan hiburan pasti dapat memberi lebih keseronokan.

Pendingin hawa dua zon memastikan penumpang hadapan dan belakang CR-V sentiasa selesa. Mengambil kira corak penggunaan penumpang, port USB telah ditambah bagi membolehkan penumpang belakang mengecas peranti mereka dengan mudah. Pemandu dan penumpang boleh menikmati keselesaan tempat duduk kulit bersama 8 talaan kuasa untuk pemandu dan 4 talaan buat penumpang.

Kecanggihan teknologi pada CR-V serba baharu ditingkatkan dengan Electronic Parking Brake (EPB) yang menggantikan brek kaki tradisional. Ciri ini membolehkan lebih banyak ruang tersedia di bahagian konsol. Ruang itu kini boleh menempatkan komputer riba 13” atau beg tangan bersaiz sederhana.

Dengan ciri  Auto Brake Hold (ABH), memandu dalam keadaan trafik yang sesak menjadi lebih mudah. Hanya perlu tekan satu butang, kenderaan tidak akan bergerak tanpa perlu kerap menekan brek.

Honda SENSING

Dari segi keselamatan, Honda menaikkan standard melalui perlindungan yang komprehensif untuk pemandu dan penumpang dalam semua model keluarannya. Buat pertama kalinya, Honda Malaysia memperkenalkan Honda SENSING untuk membantu pemandu. Honda SENSING menawarkan tiga kategori sistem keselamatan yang terdiri daripada 7 ciri:

a) Driver Cruising Aid

  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Low-Speed Follow (LSF)

b) Frontal Collision Deterrence

  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)

c) Side Collision Deterrence

  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)

Selain Honda SENSING, CR-V serba baharu menawarkan banyak ciri keselamatan yang standard untuk semula varian. Ini termasuklah paparan Thin-Film-Transistor (TFT) dan Driver Attention Monitor yang membantu pemandu kekal peka sepanjang pemanduan menerusi kombinasi amaran serta getaran pada stereng.

Ciri keselamatan lain ialah enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA) dengan Agile Handle Assist (AHA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), Electronic Brake Distribution (EBD), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan kamera undur multi-sudut.

CR-V juga hadir dengan pelbagai ciri baru seperti Walk Away Auto Lock dan lapan alat pengesan. Varian tertinggi model baharu ini dilengkapi dengan beberapa ciri mewah termasuklah Honda LaneWatch Camera, Auto High Beam dan Active Cornering Light.

 

3 Pakej aksesori 

Bagi meningkatkan lagi aspek eksklusiviti dan praktikaliti CR-V, tiga pakej aksesori ditawarkan.

  1. Utility Package (RM1,165) merangkumi bekas kargo, jaring kargo, trunk organiser, pelindung cahaya matahari dan filem perlindungan.
  2. Urban Package (RM1,790) hadir dengan visor pintu, pelindung bampar belakang dan pemijak kaki sisi beriluminasi.
  3. Aero Package untuk varian 2.0L 2WD dan 1.5L VTEC Turbocharged pula berharga (RM5,900 dan RM5,700). Ia terdiri daripada bampar aero, running board, bampar aero belakang dan kemasan paip ekzos (2.0L 2WD sahaja). Harga pakej-pakej aksesori ini adalah selepas diskaun sebanyak 10% yang menawarkan penjimatan sehingga RM665.

CR-V didatangkan dalam lima pilihan warna dengan hijau tua menjadi warna baru untuk kenderaan Honda. Manakala warna putih dan biru mutiara ialah warna baru untuk CR-V. Warna perak dan kelabu daripada generasi sebelumnya dikekalkan.

Jaminan untuk CR-V kekal  5 tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000km.

BACA: HONDA SENSING PADA CR-V SERBA BAHARU – TAWAR PEMANDUAN LEBIH SELAMAT

Maklumat lanjut mengenai CR-V atau ingin menempah slot pandu uji, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 91 pengedar sah Honda di seluruh negara, hubungi nombor Tol Percuma Honda di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my.

GALERI

Google ads
Back to top button