" "
Motosikal

HONDA LANCAR SKUTER GENIO DI INDONESIA – RM5,039 SEUNIT

PT Astra Honda Motor (AHM) baru-baru ini memperkenalkan skuter automatik Honda Genio di pasaran Indonesia.

Disasarkan untuk golongan muda, Genio dikuasakan oleh enjin eSP 110cc baharu yang lebih jimat dan menawarkan prestasi optimum. Mampu menjana kuasa sehingga 8.8hp pada 7,500rpm dan tork maksimum 9.3Nm pada 5,500rpm.  

 Ini membolehkan Genio menawarkan pecutan yang lebih responsif dengan kelajuan maksimum 94km/j.

Penggunaan bahan api pula sekitar 59.1km bagi setiap liter atau 248km untuk setangki penuh petrol. Enjin generasi baru itu juga mematuhi piawaian emisi Euro3.

Skuter kompak itu dibangunkan di atas kerangka eSAF (enhanced Smart Architecture Frame) yang baru daripada Honda.

Kerangka eSAF diperkenalkan buat pertama kali di Indonesia yang membuatkan skuter itu lebih ringan, lincah dan selesa ditunggang.  

eSAF mampu menawarkan penggunaan ruang lebih baik. Buktinya, jentera itu didatangkan dengan ruang penyimpanan barang seuas 14 liter yang cukup untuk mengisi baju hujan dan sebagainya. Anda juga boleh mengecas peranti menerusi satu slot yang ada di dalam ruang kargo tersebut.

Genio menggunakan lampu LED, panel digital dan kemasan aluminium untuk tampil lebih menarik. Posisi duduk kini lebih selesa dengan tapak lantai yang luas dan pelana berketinggian 740mm.

“Kami harap Genio akan menjadi pilihan utama buat golongan muda yang mahu tampil berbeza ketika pergi ke sekolah, tempat kerja atau berjumpa dengan kawan-kawan mereka.

“Kami yakin Genio disukai oleh pengguna di Indonesia,” kata Pengarah Presiden AHM, Johannes Loman.

Google ads
Back to top button