" "
Motosikal

HONDA RC213V-S – INI RASANYA MENUNGGANG MOTOSIKAL BERHARGA RM1 JUTA!

Pada acara Honda Asian Journey 2017 (HAJ) yang berlangsung pada Oktober lalu, Boon Siew Honda (BSH) membuat kejutan apabila memperkenalkan jentera berkuasa tinggi, Honda RC213V-S di Litar Melaka International Motorsport Circuit (MIMC) di Durian Tunggal, Melaka.

Kejutan nampaknya tidak berakhir di situ apabila pihak penganjur menyatakan peserta HAJ juga boleh merasai sendiri keterujaan menunggang RC213V-S.

Terlebih dahulu, apa yang menarik sangat tentang RC213V-S ini? RC213V-S ialah replika kepada jentera lumba RC213V yang ditunggang oleh Marc Marquez dalam perlumbaan MotoGP.

RC merujuk kepada jentera yang dibina oleh Honda Racing Corporation (HRC). Manakala 213V pula bermaksud kurun ke 21 dan versi ketiga jentera seumpamanya. HRC hanya menghasilkan 250 unit RC213V-S yang dipasang menggunakan tangan di kilang Honda di Kumamoto, Jepun untuk pasaran di seluruh dunia.

Jumlah itu hanya akan ditambah jika mendapat sambutan daripada pengguna. Sewaktu diperkenalkan, ia ditawarkan pada harga AS$184,000 (RM750,500) seunit. Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata, jika ditambah dengan cukai, duti import dan sebagainya, harga RC213V-S boleh mencecah lebih RM1 juta di pasaran Malaysia. Peh… 

Berbalik kepada sesi tunggang uji ini. Harus tahu bahawa pada asalnya, saya langsung tidak bercadang untuk menunggang jentera replika MotoGP ini. Jadi, saya hanya turun ke litar untuk merakam aksi rakan-rakan media lain yang ghairah menunggang motosikal ini seperti penunggang MotoGP. 

Banyak perkara yang menakutkan saya. Selain daripada kuasanya yang beza langit bumi dengan skuter Yamaha NMAX yang menjadi mode pengangkutan seharian, harganya pun membuatkan ramai berfikir banyak kali untuk menyentuhnya, apatah lagi menunggang di atas litar.

Tetapi entah kenapa, saya tiba-tiba ada keberanian untuk menunggang model yang dipasang dengan hampir 80 peratus dengan jentera MotoGP itu. 

Selepas beberapa ketika menunggu, akhirnya giliran saya pun tiba. Sebaik sahaja duduk di atas pelananya, hujung kaki saya boleh menjejak tanah. Jentera itu kemudian saya goyangkan sikit. Ahhh… Tidak lah terlalu berat, ini sudah bagus! Keyakinan naik beberapa peratus lagi, walaupun hati semakin berdebar.

Petugas litar kemudian menyerahkan satu kotak hitam yang saiznya sebesar kotak mancis. “Letak dalam poket,” arahnya dengan muka serius. Selepas fikir sejenak, barulah tahu itu ialah kunci RC213V-S. Hahaha… Ingatkan apa lah tadi.

Sebaik sahaja penghidup enjin ditekan, ngauman enjin lima unit RC213V-S memenuhi perkarangan litar MIMC. Konvoi sesi tunggang uji itu diketuai oleh pelumba berbakat besar tempatan, Zaqhwan Zaidi.

Kami diminta supaya tidak memotong pelumba pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing itu. Kalau diberi peluang pun, jangan harap kami boleh potong Zaqhwan. Dia bawa punya lah laju, pelesit pun kalah.

Sebagai sebuah jentera lumba yang sah digunakan di atas jalan raya biasa, posisi tunggangan RC213V-S memerlukan penunggang membongkok sepanjang masa. Jadi, kalau menunggang dalam tempoh yang lama, konfem sengal segala sendi badan.

RC213V-S menggunakan khidmat enjin V-4 titanium kompak bersesaran 999cc Mampu menghasilkan kuasa sehingga 157hp pada 11,000rpm (output kuasa berbeza bergantung kepada pasaran), tujahan kuasa dapat dirasai serta-merta apabila pendikit minyak dipulas.

Sejujurnya, saya tidak berani memerah semua kuasa tersebut. Ditambah dengan litar MIMC yang kurang baik kualiti permukaannya dan laluan lurus yang pendek, gear pun sempat ditukar sampat gear tiga sahaja.

Biarpun perlahan (tapi tidak lah sampai Zaqhwan dapat memotong saya semula), RC213V-S sememangnya sebuah jentera yang lincah. Ia mudah mengikut segala arahan penunggang dengan begitu tepat. Slipper clutch pula membolehkan penunggang menukar kedudukan gear dengan pantas.

Ditambah dengan pelbagai ciri elektronik termaju seperti kawalan cengkaman, wheelie, kawalan brek enjin 4-peringkat dan banyak lagi, jentera ini cuba jadi seselamat mungkin selagi penunggang tidak menunggang seperti orang gila.

Kami hanya diberi peluang untuk menghabiskan dua pusingan di litar MIMC. Walaupun singkat dan sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, pengalaman menunggang  RC213V-S tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Terima kasih Boon Siew!

Google ads
Back to top button