
HONDA MALAYSIA LANJUTKAN HAB PUSAT SERVIS BEG UDARA TAKATA
Honda Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan operasi pusat servis penggantian beg udara Takata sementaranya di wilayah tengah hingga 31 Disember depan.
Berdasarkan kepada rekod, kenderaan Honda yang terlibat di wilayah tengah merupakan jumlah paling tinggi belum menukar inflator beg udara hadapan dengan 23 peratus. Sedangkan wilayah Utara dan Selatan masing-masing mencatat sembilan dan lapan peratus.
Justeru, Honda Malaysia menggesa pelanggan yang terlibat supaya datang ke pusat servis untuk menukar inflator tersebut secepat mungkin.
Dalam perkembangan berkaitan, Honda Malaysia juga akan melanjutkan operasi Hab Bergeraknya di beberapa buah pusat membeli-belah di Lembah Klang sepanjang Oktober. Ia akan beroperasi pada Sabtu dan Ahad mulai jam 10 pagi hingga 7.00 petang di lokasi-lokasi terpilih.
Dalam tempoh bermula 1 Ogos hingga 30 September 2016, Honda Malaysia telah berjaya menukar lebih 62,200 unit inflator beg udara hadapan Takata dengan 11,300 daripadanya ditukar oleh hab servis sementara.
Sebagaimana yang telah diumumkan pada Ogos lalu, Honda Malaysia telah menempah 100% komponen berkaitan dan dijangka mencapai 55 peratus menjelang Disember depan.
Pelanggan boleh memeriksa status stok inflator beg udara penumpang hadapan di laman web www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my
Jangan berlengah lagi!











