
HONDA MONKEY 2025 EROPAH, EURO5+, WARNA BAHARU
Honda Monkey terkenal pada era 70-an namun sejarah motosikal ikonik ini bermula pada 1961.
Asalnya dibangunkan sebagai motosikal 49 cc untuk kanak-kanak di Taman Hiburan Tama tech di Tokyo, Jepun.
Motosikal ini begitu terkenal sehingga versi jalan raya dibangunkan dan pada peringkat awal dieksport ke Amerika dan Eropah pada 1963.
Selepas ditamatkan pada 1999, Monkey kembali lagi ke habitat jalan raya pada 2018.
Honda menaik taraf enjin Monkey 2022, menambah jumlah gear, mempertingkat suspensi dan beberapa lagi pembaharuan.
Program naik taraf sekali lagi dibuat dan model tahun 2025 menggunakan enjin mengikut piawaian EURO5+ dan pilihan warna baharu.
Enjin 124 cc, SOHC dipadan bersama transmisi lima kelajuan.
Enjin ini menghasilkan 9.25 ps pada 6,750 rpm dan 10.7Nm pada 5,500 rpm. Pematuhan EURO5+ dicapai melalui tetapan ECU, perubahan pada pemangkin dan tambahan penderia O2.
Kelajuan tertinggi setakat 91 kilometer sejam (km/j). Honda memaklumkan penggunaan bahan api pada kadar 1.5 liter per 100 kilometer dan penunggang dibekalkan tangki petrol 5.6 liter.
Dengan fizikal kecil, Monkey berukuran panjang 1,710 milimeter (mm), lebar 755 mm dan tinggi 1,030 mm. Tinggi pelana 776 mm dan jarak kelegaan bumi 175 mm. Beratnya pula 105 kilogram.
Sepit udang terbalik mempunyai ukuran naik turun 100 mm dan dua penyerap hentak belakang dengan ukuran 102 mm.
Angkup dua omboh dipadan bersama cakera 220 mm yang hampir memenuhi rim 12 inci. Angkup satu omboh berfungsi bersama cakera 190 mm.
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) diganding bersama Unit Pengukuran Inersia (IMU) dan mengelakkan angkatan roda belakang semasa pembrekan kuat.
Rim 12 inci dipasangkan tayar corak blok saiz 120/80-12 65J di depan dan 130/80-12 69J di belakang.
Maklumat seperti kelajuan, odometer, jarak dan baki petrol dipaparkan pada meter digital LCD bentuk bulat.
Sistem panggilan semula melalui butang pada kunci menghidupkan lampu supaya penunggang dapat menjejaki Monkey dengan mudah di kawasan letak kenderaan.
Honda menawarkan tiga warna baharu buat pelanggan di Eropah iaitu Sheen Silver Metallic dan Pearl Shining Black, Millenium Red dan Pearl Himalayas White, Turmeric Yellow dan Knight Silver Metallic.
Pelanggan turut ditawarkan aksesori seperti rak krom belakang, rak sisi, beg kalis air, pemegang hendal dengan pemanas, soket USB, jam dan meter kedudukan gear.




























