
Honda NC700S
Tidak lama selepas Yamaha memperkenalkan model naked pertamanya iaitu XJ6, Boon Siew Honda baru-baru ini tampil dengan model NC700X sebagai pencabarnya.
Sejak sekian lama, segmen motosikal naked hanya dihuni oleh model Kawasaki ER6n dan Naza Blade. Sekali gus membuatkan para pengguna tidak mempunyai banyak pilihan.
Tawaran terkini datangnya daripada Yamaha, menerusi model XJ6 yang memang nampak menarik. Kini, segmen tersebut semakin meriah dengan kehadiran jentera buatan Honda dengan sesaran enjin lebih besar, apa lagi kalau bukan NC700S.
Kata Honda, rekaan NC700S berteraskan matlamat yang mudah. Mahu menghasilkan sebuah motosikal yang seronok, mudah dikendalikan dan ditawarkan pada harga berpatutan.
Menjanjikan praktikaliti sebuah motosikal jalanan bersama gayaan konsep naked, NC700S dijana oleh unit enjin dwi silinder sebaris berkapasiti 670cc. Enjin tersebut memiliki rekaan kompak bagi menjimatkan ruang dan memberikannya pusat graviti yang rendah.
Berupaya menghasilkan kuasa maksimum 35kW @ 6,250rpm dan tork puncak 60Nm @ 4,750rpm, enjin itu menawarkan prestasi cemerlang serta emisi rendah yang menepati standard EURO 3.
Biarpun begitu, ia tidak berkompromi dengan aspek penjimatan bahan api. Catatan penggunaan minyak adalah sekitar 27.9 kilometer (km) bagi setiap liter. Setangki penuh petrol boleh membawa anda sejauh 400km. Penjimatan itu dicapai melalui aplikasi sistem pancitan bahan api PGM-FI dan analisis stoichiometric.
Catatan itu turut dibantu oleh padanan dua pilihan transmisi iaitu kotak gear enam kelajuan manual dan dwi klac generasi kedua Honda. Selain menjimatkan minyak, transmisi itu menawarkan kemudahan kotak gear automatik dengan pilihan mode manual.
Penunggang boleh memilih mode tunggangan yang dimahukan sama ada manual (MT) atau automatik(AT) dengan dua tetapan. Mode S untuk tunggangan sporty dan mode D yang sesuai digunakan ketika menunggang di bandar dan lebuh raya.
NC700S dibina di atas kerangka konsep berlian, roda aluminium bersaiz 17 inci dan rekaan geometri. Hasilnya, ia menjadi sebuah jentera yang ringan dan berprestasi dinamik dengan ciri pengendalian intuitif.
Sistem Gabungan Brek Anti Kunci (C-ABS) yang ada padanya pula meningkatkan keberkesanan kuasa membrek. C-ABS menyelaras kawalan brek roda hadapan dan belakang secara lebih efisien.
Demi kemudahan pengguna, NC700S didatangkan dengan ruang simpanan yang luas dan boleh memuat sebuah topi keledar full-face.
Jentera itu didatangkan dalam beberapa warna menarik iaitu perak, putih mutiara, dan hitam. Harganya? NC700S boleh anda miliki pada harga RM49,888 seunit bagi varian standard dan RM58,088 (versi ABS dengan DCT).
NC700S juga hadir bersama jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km. Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi talian bebas tol Boon Siew Honda: 1800-88-3993 (Isnin hingga Jumaat. 9.00 pagi – 5.00 petangg, kecuali cuti umum).
[hr top]






































