Motosikal

Yamaha XJ6

Varian terbaharu daripada siri XJ ini menampilkan rekaan segar dan teknologi terbaik untuk pilihan peminat jentera naked di Malaysia. 

Foto: Newspress 

Tahun 2012 menyaksikan industri motosikal negara tumbuh sebanyak sepuluh peratus. Maksudnya, lebih 600,000 unit motosikal terjual berbanding 540,000 unit pada tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan turut dialami oleh segmen 250cc ke atas dengan jualan mencecah 9,500 unit. Ini merupakan lonjakan sebanyak 57 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Maka tidak hairanlah jika situasi itu cuba dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengedar motosikal, Contoh paling jelas ialah Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) yang telah melancarkan beberapa model menarik seperti CBR250, CBR1000 Fireblade, Goldwing, CRF250L, Integra 670cc, PCX 150, skuter kecil Spacy bersesaran 110cc dan terbaharu, NC700X serta NC700S.

Sementara jenama yang lebih senior dalam segmen motosikal berkuasa tinggi, Kawasaki pula meneruskan dominasi melalui beberapa model baharu termasuklah  Z800, ZX6R dan Ninja 250R versi tahun 2013.

Bagaimana pula dengan Yamaha? Walaupun menguasai pasaran skuter atau kapcai dengan varian Ego, Nouvo, 135LC, Lagenda dan FZ150i, Yamaha nampaknya kurang agresif untuk bersaing dalam segmen 250cc ke atas.

Kali terakhir Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) memperkenalkan model berkuasa tinggi adalah kira-kira 18 bulan lalu melalui model XJ6 Diversion bersesaran 600cc.

Kini, Yamaha berhasrat menjadi satu jenama yang lebih signifikan dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi. Buktinya, HLYM baru-baru ini melancarkan model naked pertamanya untuk pasaran tempatan, Yamaha XJ6.

Sejak diperkenalkan, lebih 800 unit XJ6 Diversion telah berjaya dijual. Sebenarnya angka itu agak rendah berbanding sasaran awal HLYM. Namun, HYLM kembali optimis menerusi pengenalan XJ6, sekali gus mensasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 1,000 unit XJ6 Diversion dan XJ6 sepanjang tahun 2013.

Pengurus Kanan Pemasaran HLYM, G.S Tan menganggarkan pecahan jualan varian XJ6 dan XJ6 Diversion adalah sekitar 70 peratus dan 30 peratus.

Mula dibuka untuk tempahan 21 Januari lalu, apakah yang membezakan XJ6 dengan model XJ6 Diversion? Untuk makluman, XJ6 ialah varian naked daripada siri Yamaha XJ.

Memandangkan sejak dahulu lagi saya sudah meminati jentera naked, maka XJ6 tidak memerlukan masa yang lama untuk meyakinkan saya bahawa penampilannya lebih garang dan maskulin berbanding XJ6 Diversion.

Harganya juga RM1,000 lebih murah,jika dibandingkan dengan XJ6 Diversion. Lebih tepat lagi, RM38,500 seunit (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan nombor plat).

XJ6 dikatakan jentera yang menetapkan satu standard baharu dalam kelas motosikal sports sederhana. Menerusi gayaan tubuh dan ciri yang dipertingkat bagi model 2013, ia sememangnya sebuah naked popular yang menggabungkan  aspek prestasi dan pengendalian mudah.

Ia dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 600cc empat silinder sebaris. Hasilnya, kuasa mencecah 57kW dan tork puncak 59.7Nm mampu dijana. Menjanjikan hantaran kuasa yang lancar dan pecutan meyakinkan, unit enjin itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Kalau ada yang tertanya-tanya kenapa Xj6 lebih mahal berbanding model 600cc lain seperti Kawasaki ER6n atau Naza Blade 650cc, enjin empat silinder sebaris itulah antara punca utamanya.

Yamaha mengguna pakai kerangka tiub ringan untuk membina XJ6. Tujuannya, memastikan tunggangan yang lincah, senang dikendalikan, titik graviti rendah dan dimensi keseluruhan jentera dapat dikurangkan,

Hendal bar XJ6 pula direka agar boleh dilaras mengikut kesesuaian penunggang demi memberi keselesaan maksimum. Dengan rekaan tangki minyak dan posisi tempat duduk yang rendah, penunggang boleh mengharapkan pengalaman tunggangan yang selesa sepanjang masa.

Panel intrumentasi pula mengambil inspirasi daripada rekaan jentera lumba. Instrumen meter XJ6 terdiri daripada takometer analog yang mudah dibaca pada sebelah kanan. Sementara bahagian kirinya terletak paparan digital dengan latar lampu berwarna oren. Ia memaparkan pelbagai maklumat seperti kelajuan pecutan, takat minyak dan banyak lagi.

Perubahan paling ketara yang boleh dilihat pada XJ6 versi 2013 ialah panel sisinya yang telah direka semula. Rekaan itu menampilkan ‘lekuk’ yang lebih bersepadu dan nampak sempurna dengan bentuk tangki minyak.

Penampilan naked itu disempurnakan lagi menerusi lampu utama yang baru, di samping lampu belakang dengan butiran LED.

XJ6 hadir dalam dua warna iaitu putih dan biru yang dikenali sebagai Race Blu. Kalau nak tahu, warna Race Blu adalah kombinasi warna biru (Yamaha Blue) dan kelabu (matt grey) yang menyerlahkan DNA perlumbaan Yamaha.

Seperti model-model Yamaha yang lain di pasaran, XJ6 merupakan produk CKD dan dipasang di kilang milik HLYM di Sungai Buloh, Selangor.

“Pengenalan XJ6 merupakan langkah pertama dalam perancangan baharu kami. Kami optimis XJ6 mampu meraih perhatian kerana ia menggabungkan teknologi terbaik, berspesifikasi tinggi, cekap tenaga, mudah dioperasi dan memiliki rekaan yang segar,” kata Pengarah Urusan HLYM, C. H. Ng.

[hr top]
Spesifikasi Yamaha XJ6
[hr_invisible]

Enjin: 600cc empat silinder sebaris DOHC, empat lejang dengan sistem penyejukan cecair

Kuasa maksimum: 57kW @ 10,000rpm

Tork maksimum: 59.7Nm @ 8,500rpm

Jenis karburator: Pancitan bahan api

Brek hadapan: Brek cakera hidraulik berkembar

Brek belakang: Brek cakera hidraulik

Kapasiti tangki: 17 liter

[hr top]
Gallery
[hr_invisible]

[hr]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button