Motosikal

Honda NC700X – bermula RM53,988 seunit

Taruhan Boon Siew Honda untuk bersaing dalam pasaran motosikal crossover tempatan.

Disifatkan sebagai sebuah model Crossover yang direka khas untuk tunggangan di bandar dan off-road, NC700X sudah boleh anda lihat secara dekat di semua bilik pameran Honda di seluruh negara sejak bulan lalu.

Kalau sudah nama pun Crossover, NC700X pastinya menawarkan prestasi lasak sebuah motosikal off-road bersama keselesaan, keselamatan dan fungsi yang boleh didapati pada motosikal jalanan.

Jentera itu didakwa sesuai untuk penunggang yang baru hendak berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa besar. Mereka yang berpengalaman pula pasti mengakui bahawa NC700X sememangnya menarik dan praktikal. Sifat NC700X yang mudah dikawal meningkatkan lagi keyakinan dan keseronokan ketika menunggang.

NC700X menggunakan khidmat enjin dua silinder sebaris bersesaran 670cc dengan sistem penyejukan cecair, enjin sama yang dipasang pada varian NC700S.  menjanjikan penghantaran kuasa dan tork yang lancar pada rpm rendah atau sederhana, enjin yang dibina khas itu juga cukup ringan.

Enjin NC700X dilengkapi sistem pancitan  bahan api PGM-FI dan analisis stoichiometric demi meningkatkan tahap penjimatan minyak. Dua sistem tersebut memastikan nisbah bahan api dan udara yang tepat untuk pembakaran optimum pada semua tahap rpm enjin.

Jentera itu mampu mencapai jarak sejauh 400 kilometer (km) untuk satu tangki penuh, lebih tepat lagi, 27.9km bagi setiap liter. Enjin itu juga mengeluarkan tahap emisi rendah dan menepati piawaian EURO 3.

Enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear enam kelajuan manual atau dwi klac Honda generasi kedua. Kotak gear itu memudahkan penukaran gear dibuat secara manual, di samping pilihan fungsi automatik sepenuhnya.

Mode manual (MT) membolehkan penunggang mengawal kedudukan gear secara total.  Sementara mode automatik (AT) pula menawarkan dua tetapan iaitu S untuk tunggangan sporty dan D bagi tunggangan harian.

Aplikasi Sistem Gabungan Brek Anti Kunci (C-ABS) meningkatkan prestasi membrek NC700X. Untuk makluman, sistem C-ABS menggabungkan tekanan brek hadapan serta belakang bagi menyediakan kuasa membrek yang lebih mantap dan selamat.

Sesuai untuk tunggangan jarak jauh, model itu menawarkan ruang simpanan yang luas. Manakala  penghadang angin dan posisi tempat duduk yang selesa membuatkan penunggang tidak keletihan.

Jika berminat, NC700X ditawarkan pada harga RM53,988 seunit (motosikal sahaja) untuk versi Standard dan RM62,088 (varian ABS dan DCT). Anda boleh memilih daripada empat warna menarik iaitu hitam, putih, perak dan merah.

“Penawaran siri NC700 yang merangkumi model NC700X, NC700S dan Integra (NC700D) mencerminkan usaha syarikat untuk memperkenalkan pelbagai kategori motosikal yang pastinya mengujakan pengguna tempatan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada.

[hr]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button